BERTAKWALAH KEPADA ALLAH SWT WALAUPUN DI MANA JUA BERADA KERANA KETAKWAAN MENJADI UKURAN KEIMANAN DAN KEMULIAAN SEORANG MUSLIM

 

Sesuatu yang sudah disepakati oleh semua ialah penilaian kemuliaan seseorang itu adalah takwa. Ini jelas termaktub di dalam al - Quran melalui surah al – Hujurat, ayat 13 yang bermaksud:

"Wahai manusia sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang-orang yang bertakwa".

Syarat utama takwa yang menjadi nilai ukuran utama kemuliaan di sisi Allah SWT ialah beriman dengan Allah SWT, hari akhirat, beriman dengan kandungan al - Quran dan sifat-sifat takwa lain yang terkandung di dalam al - Quran mahupun hadis Rasulullah SAW. Pendek kata, takwa hanya mampu diraih oleh orang yang mempunyai syarat paling asas iaitu seorang Muslim. Mustahil orang kafir dan orang yang mensyirikkan Allah itu menjadi orang yang bertakwa dan meraih kemuliaan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

"Bertakwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap (amalan) kejahatan dengan (amalan) kebaikan yang dapat menghapuskannya serta berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik." (HR Tirmizi).

Ingatlah, walau di mana sahaja kita berada kita hendaklah sentiasa bertakwa kepada Allah SWT kerana ia merupakan kewajipan setiap Muslim dan menjadi benteng daripada melakukan kejahatan dan maksiat. Takwa menurut Imam At-Tabari adalah beriman dan melakukan ketaatan kepada Allah SWT, meninggalkan perkara yang dilarang Allah SWT dan melaksanakan perintah serta sangat waspada terhadap seksaan Allah SWT jika meninggalkan petunjuk yang telah diketahui. 

Maka dari itu, bersegeralah melakukan kebaikan setelah menyedari atau melakukan kejahatan atau maksiat. Antaranya beristighfar, bersedekah dan sebagainya. Setiap Muslim hendaklah bersungguh-sungguh menjauhi amalan kejahatan dan memperbanyakkan amalan kebaikan serta menghias diri dengan akhlak terpuji. Ini kerana ketakwaan seseorang Muslim itu adalah kayu pengukur kepada tahap keimanan dan kemuliaannya.

Sumber: Berita Harian (23 November 2018)


Comments