MELIHAT ORANG LAIN TERKENA UJIAN DAN MUSIBAH? JANGAN CEPAT MEMBUAT KESIMPULAN SEBALIKNYA JADIKANLAH IA SEBAGAI IKTIBAR
Saban hari kita menyaksikan pelbagai bentuk ujian dihadapi oleh orang lain. Ada ujian yang kelihatan berat jika kita sendiri yang menghadapinya. Pelbagai ujian kehidupan membuktikan keadaan berbeza yang dilalui setiap insan. Bagi orang Islam, setiap ujian yang datang pasti membawa kebaikan jika diri sentiasa mendepani ujian dengan penuh reda terhadap ketentuan Ilahi. Hakikatnya tidak ada orang yang akan berjaya menikmati kebahagiaan hidup di akhirat tanpa perlu berdepan dengan ujian ketika di dunia. Hatta Rasulullah SAW yang merupakan insan mulia di sisi Allah SWT turut berdepan dengan ujian sepanjang usaha dakwah baginda menyebarkan Islam.
Namun, apa akan jadi sekiranya kita melihat orang lain yang terkena ujian atau musibah yang berat? Adakah kita sekadar mahu melihat dan menilai dari luaran bahawa seseorang itu terkena musibah pasti telah berbuat kesalahan dan itu merupakan kifarah mereka? Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta." (QS al-Ankabut: 2-3).
Maka dari itu, setiap Muslim perlu menginsafi setiap ujian yang disaksikan berlaku ke atas orang lain. Kita perlu belajar dengan mengambil pengajaran daripada ujian yang melanda kehidupan orang lain. Seperti peristiwa yang terjadi baru-baru ini apabila seorang gadis yang melakukan tindakan berbahaya sehingga menyebabkan adiknya meninggal dunia. Pastinya ujian ini berat untuk ditanggung oleh keluarga yang terlibat. Bayangkan perasaan ibu bapa kepada anak-anak tersebut yang terpaksa berdepan dengan ujian melibatkan kehilangan anak sendiri disebabkan perkara yang tidak dijangka boleh berlaku.
Namun, sebagai orang yang menyaksikan pelbagai ujian melanda orang lain, usah jadikan perkara tersebut sebagai modal untuk merendah-rendahkan orang lain. Ambillah pengajaran daripada peristiwa yang berlaku kerana sesungguhnya ujian boleh hadir dalam kehidupan sesiapa sahaja. Sekiranya perkara ini dapat difahami dengan betul, maka diri tidak akan semudahnya membuat kesimpulan secara rambang. Tatkala menyaksikan ujian orang lain yang melibatkan keaiban dirinya, kita sepatutnya memohon keampunan kepada Allah SWT agar Dia mengampuni serta menutup keaiban diri. Ini seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW melalui sebuah doa, mafhumnya:
"Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku" (HR Ahmad).
Justeru, marilah kita menginsafi ujian yang melanda orang di sekeliling. Semoga kehidupan kita dapat diperbaiki sejurus melihat dan mengambil pengajaran daripada ujian yang didepani oleh orang lain. Allah SWT menjadikan setiap perkara untuk direnungi dan diambil pengajaran daripadanya.
Sumber: Harian Metro (25 Oktober 2022).
Comments
Post a Comment