ADAB DALAM BERSAHABAT - CARILAH SAHABAT YANG MENDORONG KE ARAH AMAL SOLEH DAN BOLEH MEMBIMBING KE SYURGA
Tidak ada manusia di alam ini dapat hidup bersendirian. Oleh itu, manusia sangat berhajat dan mengharapkan orang lain untuk sama-sama menghuni muka bumi Allah yang terbentang luas ini. Justeru, kita sebagai manusia biasa tidak dapat lari daripada memiliki sahabat atau teman. Boleh dikatakan setiap daripada kita memiliki teman masing-masing untuk sama-sama mengharungi suka duka dan pahit manis kehidupan yang penuh pancaroba. Barangkali inilah di antara hikmah Allah yang tersirat di sebalik penciptaan manusia pelbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Ini sebagaimana dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa serta bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (QS al – Hujurat: 13).
Ada orang meletakkan sahabat lebih dekat berbanding dengan kawan. Kita mungkin mempunyai ramai kawan namun belum tentu semuanya dalam kategori sahabat. Sahabat itu sentiasa berada dekat dalam kehidupan. Ketika senang, dialah bersama meraikannya dan ketika susah dia tetap bersama dengan menghulurkan bantuan. Sebenarnya Islam sudah menjelaskan acuan persahabatan sesama manusia. Malah, Islam menggunakan istilah 'persaudaraan' iaitu jauh lebih rapat berbanding 'persahabatan.' Hal ini kerana persaudaraan sesama Muslim didasari oleh asas akidah Islamiah yang menjadikan hubungan tersebut sentiasa dalam keadaan harmoni dan diberkati. Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umatnya agar berhati-hati dalam memilih teman berdasarkan kepada sabdanya yang bermaksud:
"Seseorang itu menurut agama sahabatnya, oleh itu seseorang Muslim hendaklah berhati-hati dengan siapakah yang perlu dia pilih sebagai sahabat." (HR Ahmad).
Jelas daripada mafhum hadis itu bahawa jika temannya adalah orang yang baik dan soleh, maka dia akan membantunya dalam menyempurnakan tanggung jawabnya sebagai seorang Muslim di samping memelihara hak dan kewajipan yang wajib ditunaikan dalam konteks persahabatan iaitu memelihara temannya daripada terjebak ke kancah maksiat serta kejahatan, menjaga maruah kehormatannya dan sebagainya.
Sehubungan itu, Islam meletakkan garis panduan untuk kita memilih teman yang soleh dan sejati. Rasulullah mengajar kita semua agar memilih sahabat yang mendorong ke arah kebajikan dan amal soleh. Ini kerana setiap daripada kita mudah terpengaruh dengan sifat, agama dan peribadi teman. Justeru, teman yang baik lagi soleh dan yang baik budi pekertinya amat penting untuk merangsang kita berakhlak mulia sepertinya. Begitulah juga sebaliknya, teman yang toleh lagi jahat hanya akan mendorongkan kita ke arah kejahatan dan kemaksiatan yang dimurkai Allah SWT.
Ringkasnya, persahabatan dengan teman yang soleh lagi bertakwa akan menjulang temannya itu ke mercu kemuliaan dan kesejahteraan. Persahabatan dengan teman yang jahat pula hanya membawanya ke lubuk kehinaan dan kecelakaan yang tiada penghujungnya.
Sumber: Harian Metro (9 November 2020)
Comments
Post a Comment