Bahang persaingan Pilihanraya Umum kali ke-15 (PRU15) kini semakin terasa. Sudah nampak ‘perang bendera’ di antara parti-parti yang bertanding bergantungan di sekitar jalan-jalan raya sebagai tanda promosi pemilihan parti masing-masing kepada rakyat untuk membuat pilihan yang terbaik. Namun, apa yang menyedihkan masih ada sebahagian lagi para penyokong sesetengah parti yang masih bermusuhan dan menggunakan taktik kotor dalam usaha menaikkan kempen pilihanraya tersebut. Sabda Rasulullah SAW:
“Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, saling bermusuhan, saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari.” (HR Bukhari).
Seharusnya dalam pemilihan seperti ini perlu adanya persaingan secara sihat apatah lagi kita sebagai rakyat Malaysia hidup dalam kalangan majmuk yang saling memerlukan di antara satu sama lain. Kita sepatutnya menerapkan nilai-nilai murni semasa di dalam kempen pilihanraya seperti tidak menabur fitnah, tidak bergaduh, tidak saling mendengki dan bermusuhan. Bukankah ini yang diajar oleh agama Islam agar tidak saling bermusuhan hingga mendatangkan kemudaratan?
Islam mengajar kita supaya mengelakkan diri daripada saling benci membenci, berhasad dengki dan saling belakang membelakangi antara satu sama lain kerana semua perbuatan tersebut akan membawa kepada pintu kejahatan yang amat banyak sekali sehingga boleh menimbulkan permusuhan dan pergaduhan di dalam sesebuah masyarakat. Oleh sebab itu, segala pintu kejahatan tersebut perlulah ditutup dengan serapat-rapatnya supaya kita dapat hidup saling sayang menyayangi antara satu sama lain.
Memang tidak dapat dinafikan, perselisihan faham dan keterlanjuran kata itu selalunya sukar untuk dielakkan dan sekiranya berlaku juga, Islam mengajar kita agar berusaha memperbaiki hubungan yang telah tercalar tersebut dalam tempoh tiga hari kerana membenci dan bermasam muka itu adalah perbuatan yang dilarang serta tidak diredhai Allah SWT dan RasulNya.
Bersainglah secara sihat agar negara aman dan harmoni. Janganlah disebabkan fahaman politik yang berbeza makan hancur kedamaian sesebuah negara. Firman Allah SWT:
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan karunia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana.” (QS Ali ‘Imran: 103).
Sumber: Koleksi Hadis Jimaain bin Safar, people@utm
Comments
Post a Comment