BERBUAT BAIKLAH SESAMA INSAN AGAR MENDAPAT MANFAAT DI DALAM HIDUP




Berbuat baik adalah tuntutan agama. Berbuat baik akan memberi manfaat kepada diri sendiri, masyarakat dan negara. Firman Allah SWT:


"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga." (QS al – Isra’: 7).


Suruhan berbuat baik sesama manusia ini tidak hanya terhad kepada sesama orang Islam sahaja. Malah, setiap orang disuruh untuk berbuat baik sesama manusia walaupun berbeza agama dan kaum. Islam sendiri tidak pernah melarang penganutnya untuk berbuat baik kepada penganut agama lain. Orang yang berbuat baik disukai dan dikasihi Allah, malah diberikan ganjaran pahala sebagaimana diterangkan melalui beberapa nas berikut, Allah SWT berfirman:


“Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu dalam mengerjakan suruhan Allah) kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.” (QS Hud: 115).


Berbuat baik kepada semua orang akan memberikan impak positif dan kesan yang baik. Dengan berbuat baik, kita sendiri akan mendapat manfaat yang baik dari Allah SWT. Ini sebagaimana kisah Rasulullah SAW ketika Baginda menerima wahyu pertama dan pulang ke rumah dalam keadaan takut. Namun, diredakan oleh Saidatina Khadijah (RA) dengan kata-kata beliau: Tidak perlu engkau takutkan. Demi Tuhan, Dia tidak akan menghinakanmu selama-lamanya sebab engkau adalah orang yang selalu memelihara silaturahim, membantu orang susah, menghormati dan menjamu tetamu dan menolong orang yang menderita dalam membela kebenaran."


Ini adalah contoh bagaimana sikap berbuat baik kepada semua orang menjadikan seseorang itu disayangi dan dihormati, jauh sekali daripada dikhianati atau disakiti. Ia seharusnya menjadi suntikan motivasi kepada umat Islam untuk menjadi contoh terbaik dalam berbuat baik kepada semua orang. Apatah lagi, Rasulullah SAW adalah kudwah (contoh ikutan) terbaik sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: 


"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (QS al – Ahzab: 21).


Secara umumnya, tuntutan berbuat baik meliputi seluruh makhluk khususnya sesama manusia. Sifat baik kepada semua orang akan menjamin perpaduan nasional dan kestabilan sosial. Orang yang berbuat baik disayangi Allah SWT sebagaimana firmanNya:


"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik (berusaha memperbaiki amalannya)." (QS al – Baqarah: 195). 


Tidak rugi untuk kita berbuat baik sesama manusia. Sifat berbuat baik ini juga boleh menjadi satu medium dakwah secara tidak langsung kepada semua manusia untuk menarik minat mereka mendekati Islam tidak kira sama ada sesama Muslim ataupun yang bukan Islam. 


Sumber: Harian Metro (11 Ogos 2015)

Comments