PASCA PRU15 PARA PEMIMPIN ISLAM HARUS BERSATU HATI DEMI KEAMANAN DAN KEMAKMURAN NEGARA


Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) baru sahaja melabuhkan tirainya dan sebagaimana yang kita semua tahu keputusannya telah pun dimuktamadkan berdasarkan pengiraan serta parti mana yang memenanginya. Namun, bukan itu permasalahannya. Kini, para pemimpin Islam di negara ini perlu bersatu-padu dalam memastikan keamanan dan kemakmuran negara ini benar-benar terjamin. Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kepada kita seperti mana dalam firmanNya yang bermaksud:

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara.” (QS Ali ‘Imran: 103).

Dengarlah wahai para pemimpin Islam di Malaysia, umat Islam wajib bersatu atas banyak perkara yang sama dan mengetepikan perbezaan yang sedikit itu kerana umat Islam hanya akan terselamat dari bahaya melalui penyatuan dengan bimbingan golongan ilmuan dan pemikir Islam yang memahami tuntutan dan hakikat ini, bukan berasaskan semangat orang awam semata-mata. Hanya orang Islam sahaja yang memahami perkara akidah yang mencakupi soal-soal ghaib iaitu keimanan kepada Allah SWT dan RasulNya melalui penyatuan umat atas dasar akidah Islamiyah yang pasti akan menyelamatkan umat manusia keseluruhannya.

Ingatlah, sesungguhnya kelemahan umat Islam antaranya berpunca dari perbalahan dan sikap berbantah-bantah dalam urusan agama. Kemusnahan negara Islam seperti Palestin, Syria, Iraq, Libya dan Tunisia membuktikan kerakusan pemimpin Islam dengan kuasa dan harta membuka peluang kesempatan kepada kuasa besar dunia untuk masuk bersama teknologi dan ideologi mereka yang membunuh jiwa-jiwa Islam yang tidak berdosa. Firman Allah SWT:

“Hanya orang mukmin sahaja yang bersaudara, oleh itu damaikanlah di antara dua saudara kamu dan bertaqwalah kepada ALLAH semoga kamu sentiasa mendapat rahmat” (QS al – Hujurat: 10).

Sebagai seorang muslim, kita wajib menyokong dan bersama dalam apa sahaja usaha ke arah penyatuan umat Islam sama ada di peringkat kerajaan, parti mahupun NGO. Umat Islam wajib menyokong apa juga usaha untuk menyatu padukan ummah atas dasar akidah dan wajib mendahulukan sangkaan baik kepada perpaduan ini. Janganlah meletakkan andaian atau terlajak berani memberikan andaian buruk sedangkan hati umat Islam hanya mampu dijinakkan oleh Allah SWT.

Sumber: Sinar Harian (21 September 2019)


 

Comments