Pada akhir zaman ini, budaya fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk mengenal pasti antara pihak yang benar dengan yang salah. Keadaan tersebut bertambah parah dengan kemunculan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram dan pelbagai lagi yang membuka lebih banyak ruang kepada penyebaran fitnah.
Perbuatan fitnah boleh terjadi apabila seseorang mereka-reka sesuatu berita dan menyebarkannya dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah pihak lain. Fitnah juga boleh berlaku apabila kita menerima berita tentang sesuatu perkara tanpa memastikan kesahihannya kemudian menyebarkannya sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan ataupun tidak. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga). Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu bahkan itu baik bagi kamu. Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya. Dan barangsiapa di antara mereka yang mengambil bagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya), dia mendapat azab yang besar (pula).” (QS An – Nur: 11).
Masyarakat kini terutamanya generasi muda mudah terdedah dengan pelbagai anasir yang mendorong mereka untuk melakukan amalan buruk serta menyukarkannya untuk berbuat kebaikan. Bagi golongan yang telahpun melakukan amalan kebajikan pula, pahala amalan tersebut sering disia-siakan kerana bercampur aduk dengan perbuatan mungkar yang dilakukan. Rasulullah SAW telah memberikan amaran dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Bersegeralah beramal sebelum munculnya fitnah yang datang bagaikan potongan-potongan malam yang gelap, seseorang pada pagi harinya beriman dan pada petangnya telah menjadi kafir atau petangnya masih beriman dan pagi harinya telah menjadi kafir, menjual agamanya dengan kepentingan dunia." (HR Muslim).
Marilah kita beriltizam untuk kembali mendekatkan diri kepada ajaran Islam yang sebenar dan beristiqamah untuk melakukan kebaikan lebih-lebih lagi dalam situasi kehidupan yang mencabar di akhir zaman ini. Teguhkan iman! teruskanlah amalan untuk menegakkan amar makruf dan nahi mungkar dan persiapkanlah diri dengan ilmu yang ada dalam menghadapi cabaran fitnah akhir zaman yang semakin membimbangkan ini.
Sumber: Harian Metro (5 November 2022)
Comments
Post a Comment