Pemimpin adalah antara manusia yang mempunyai tanggungjawab yang begitu besar dalam Islam. Dia secara langsung di dalam urusannya memikul amanah dan tugas yang berat kepada rakyat yang dipimpinnya. Malahan seorang pemimpin juga akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT terhadap kepemimpinannya. Ini seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Kalian semua adalah seorang pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap orang-orang yang di bawah pimpinannya.” (HR Bukhari).
Berdasarkan maksud hadis berkenaan, jelas betapa kepemimpinan adalah satu perkara yang begitu serius dan bukan perkara remeh sebagaimana dianggap kebanyakan orang Islam. Bukan semua orang mempunyai kelayakan menjadi pemimpin. Justeru, melihatkan kepentingan kedudukan pemimpin di sisi Allah SWT dan di sisi umat Islam, maka Islam meletakkan garis panduan ketat mengenai kriteria seorang pemimpin yang berkewibawaan dan berkemampuan memimpin umat Islam ke arah kejayaan.
Jatuh bangunnya sesebuah masyarakat banyak bergantung kepada kepemimpinan dua golongan yang sememangnya tidak dapat dipisahkan sama sekali dalam pentas kehidupan masyarakat iaitu ulama dan umara (pemerintah). Ulama dan umara berupaya mencorakkan dan menentukan hala tuju sesebuah masyarakat sama ada berjaya dan cemerlang dalam lapangan hidup atau tersungkur tewas dalam persaingan meraih kecemerlangan dan kesejahteraan yang disasarkan. Rasulullah SAW bersabda:
"Dua kelompok manusia yang bila baik kedua-duanya, maka akan baiklah pula seluruh masyarakat sekelilingnya. Tetapi apabila buruk kedua-duanya, maka akan buruklah pula seluruh masyarakat tersebut. Dua kelompok itu ialah ulama dan umara." (HR Abu Nua'im & Dailami).
Jelas dari maksud hadis Rasulullah SAW tersebut tentang betapa pentingnya peranan dan kedudukan ulama dan umara dalam menentukan sikap keperibadian, akhlak dan hala tuju hidup sesebuah masyarakat dan bangsa yang berdaulat. Sejarah juga membuktikan jatuh bangunnya sesebuah negara selalunya berkait rapat dengan dasar kepemimpinan umara dan peranan ulama yang mewarnai pentas kehidupan manusia sejagat.
Justeru, buat kepada pemimpin yang dilantik, amalkanlah kepimpinan yang boleh menjamin kesejahteraan ummah. Seorang pemimpin yang baik adalah seorang pemimpin yang adil dan mempunyai wawasan berpandangan jauh untuk menjamin kecemerlangan dan kesejahteraan rakyat di bawah pimpinannya. Bahkan, seorang pemimpin menganggap kuasa yang berada dalam genggamannya itu sebagai amanah yang akan dipersoalkan kelak di hadapan rakyatnya dan juga di hadapan Allah di kemudian hari.
Sumber: Harian Metro (25 November 2022).
Comments
Post a Comment