WAHAI PEMIMPIN YANG DIPILIH TUNAIKAN JANJI DAN JUNJUNGLAH AMANAH YANG DIBERI AGAR TIDAK TERGOLONG DALAM KALANGAN PEMIMPIN MUNAFIK
Kini Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melabuhkan tirainya. Hasil percaturan para pemimpin negara akhirnya semua rakyat perlu akur dengan proses pilihan raya yang bukan sahaja menelan belanja pengurusan yang besar, namun melibatkan masa dan tenaga semua orang. Kini masanya sudah tiba bagi semua pemimpin memenangi PRU15 untuk bekerja dan melaksanakan tanggungjawab melunaskan janji ditaburkan sepanjang kempen pilihan raya. Jangan jadikan perkara mendatang sebagai halangan lantas memberi seribu satu alasan menidakkan perjuangan menunaikan janji yang diungkapkan semasa berkempen tempoh hari.
Tidak kira sama ada pemimpin terpilih berada di barisan kerajaan ataupun pembangkang, hakikatnya semua yang menang adalah pemimpin yang menggalas tanggungjawab kepada seluruh rakyat di tempat masing-masing dan rakyat Malaysia secara amnya. Sesungguhnya setiap manusia di muka bumi ini apatah lagi yang diangkat menjadi pemimpin wajib menggalas amanah kepemimpinan. Dalam konteks kepemimpinan Islam, para pemimpin negara mesti menjalankan tugas memakmurkan bumi Allah SWT mengikut ketetapan-Nya. Apabila bumi ini makmur natijah daripada pelaksanaan amanah Allah SWT, maka kehidupan dunia terus mendapat rahmat dan keberkatan daripadaNya.
Islam menyatakan antara sifat mendapat kedudukan tinggi dalam akhlak Islam ialah amanah serta Islam amat menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah. Paling menarik, sifat ini dianggap titik penentu atau garis pemisah tahap keimanan dan keagamaan seseorang insan. Rasulullah SAW bersabda:
"Tiada iman bagi orang tidak memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang tidak dapat dipegang janjinya." (HR Ahmad).
Amanah, jujur, menunaikan tanggungjawab dan janji perlu ada pada diri setiap Muslim kerana ia adalah tanda keperibadian mulia yang digariskan oleh Islam. Perlu ditegaskan, amanah mengungkapkan maksud atau pengertian amat luas dan mendalam. Ia bukan sekadar bersikap jujur dan benar dalam apa-apa jua urusan kehidupan manusia, malah turut mencakupi setiap tanggungjawab atau tugas yang wajib dilaksanakan. Islam menuntut umatnya sentiasa beramanah seperti firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah itu sentiasa Maha Mendengar lagi sentiasa Maha Melihat." (QS An – Nisa’: 58).
Ingatlah wahai sekalian pemimpin negara bahawa Allah SWT sentiasa memerhati dan menilai tanggunjawab dipikul di atas bahu masing-masing. Laksanakan amanah besar ini sebaiknya agar rakyat mendapat manfaat daripada kepemimpinan baik dan diredai Allah SWT. Tunaikan janji dan junjunglah amanah yang diberi agar tidak dilabel sebagai pemimpin munafik. Bersikap amanahlah dalam menjalankan tanggungjawab dan jangan sesekali menganiayai rakyat yang sudah memberi kepercayaan kepada kamu.
Sumber: Harian Metro (21 November 2022)
Comments
Post a Comment