Seiring dengan perubahan waktu dan zaman dan semakin pesatnya perkembangan teknologi, kehidupan manusia semakin hari semakin berubah dan beraneka ragam jenisnya. Hal ini adalah kerana ada sebahagian manusia yang selama hidupnya dihabiskan untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan akhirat. Ini termasuklah dengan sesuka hatinya menghina sesama manusia bahkan menghina ciptaan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
“Mencaci orang muslim adalah kefasikan dan memeranginya adalah kekufuran.” (HR Ibnu Majah).
Mutakhir ini, terdapat sebahagian manusia yang suka mengejek dan memalukan seseorang atau menghina fizikal iaitu bentuk tubuh, warna kulit, penampilan dan kekurangan individu. Terbaharu, kita telah disajikan dengan berita penularan seorang influencer telah mengejek orang kurang upaya (OKU) dan memaki-hamun secara terang-terangan di media sosial. Tidakkah dia sedar bahawa perbuatan menghina fizikal seseorang itu juga membawa kepada penghinaan kepada Allah SWT yang menciptakannya? Sikap mencela orang lain itu berpunca dari rasa sombong dan ujub terhadap dirinya sendiri yang merasakan dirinya lebih baik. Ini kerana seorang Mukmin tidak akan memanggil atau menggelar orang lain dengan gelaran atau panggilan yang buruk. Firman Allah SWT:
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." (QS Luqman: 18).
Justeru, setiap manusia juga sewajibnya memiliki akhlak yang baik agar bermanfaat untuk manusia lain. Tidak ada yang mustahil jika manusia boleh berubah ke arah lebih baik bergantung kepada niat hati dan kesedaran masing-masing. Berakhlak dalam Islam adalah menghiasi diri perilaku dengan sifat-sifat terpuji dan utama, serta menjauhkan diri dari sifat-sifat tercela dan hina. Bukanlah satu kerugian besar jika kita menjaga terus akhlak baik dengan orang sekeliling kita dan dijauhkan dari sifat-sifat buruk yang boleh mempengaruhi akhlak, semoga kita semua terus mendapat perlindungan dari Allah SWT.
Islam amat menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengucapkan perkataan-perkataan yang baik kepada saudaranya sama ada muslim atau bukan Islam. Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dalam firmanNya:
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh.” (QS At – Fussilat: 33).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment