JAGALAH JIWA AGAR SENTIASA BERADA DI LANDASAN ISLAM YANG BENAR

Salah satu kenikmatan hidup ialah apabila seorang manusia mampu memelihara jiwa atau diri secara keseluruhan baik Zahir maupun batin kerana apabila ada salah satunya rosak, sudah tentu ia menyebabkan tidak sempurnanya diri seseorang tersebut. Agama Islam tidak melarang umatnya untuk mencintai dan menjaga diri sendiri bahkan merupakan satu kewajiban untuk seorang Muslim menjaga kelurusan iman dengan cara menjaga jiwa sehingga dapat melawan segala godaan yang ada di dunia ini dan mampu istiqamah terhadap ajaran agama yang dianuti.


Menjaga kesihatan diri sama ada jasmani mahupun rohani adalah perkara yang amat dituntut di dalam ajaran Islam. Melalui kesihatan fizikal dan mental, seseorang dapat menjalankan peranan dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, Islam menegah sebarang perbuatan dan amalan yang boleh memudaratkan kesihatan fizikal dan mental. Islam juga menegah daripada melakukan sebarang perbuatan dosa dan maksiat kerana kesannya mengotori hati serta menjejaskan kesihatan rohani. Sabda Rasulullah SAW:


 "Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung)." (HR Bukhari dan Muslim).


Dalam konteks kehidupan seorang Muslim, kita perlu kembali kepada pendekatan kerohanian dan spiritual bagi menguruskan tekanan hidup serta melakukan amalan yang dapat menyucikan jiwa. Manusia menurut pandangan Imam al-Ghazali terdiri daripada komponen jasmani dan rohani. Justeru, aspek keagamaan perlu diterapkan dalam pengisian jiwa dan spiritual seseorang kerana ia berperanan dalam pembentukan perilaku, tindakan dan keputusan bagi seseorang individu. Antara amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam menjaga jiwa agar sentiasa bersih adalah bertaubat kepada Allah SWT. Taubat perlu dilaksanakan dengan menginsafi kekhilafan dan maksiat yang sudah dilakukan serta disusuli tindakan menggantikan perlakuan dosa dengan perbuatan yang diperintahkan Allah.


Selain itu, antara amalan lain yang boleh dilakukan adalah sabar dan doa. Individu yang memiliki sifat sabar akan memiliki personaliti baik yang menggambarkan perasaan cintanya terhadap Tuhan. Dengan bersabar, seseorang dapat menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak rasional dan bercanggah dengan syariat serta melakukan segala ikhtiar yang benar dalam kehidupannya. Manakala berdoa adalah suatu bentuk pengabdian dan pergantungan individu terhadap Tuhan seperti maksud firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 186:


"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."


Amalan seterusnya yang boleh dilakukan dalam menjaga dan memelihara jiwa kita agar berada di landasan Islam yang sebenar adalah berharap hanya kepada Allah SWT iaitu melalui sifat optimis individu untuk mendapat rahmat Tuhan yang disediakan kepada hamba-hambaNya yang soleh. Jangan sesekai berputus asa kerana individu yang mempunyai sifat berputus asa adalah individu yang dianggap putus hubungan dengan Allah SWT. 


Justeru, marilah kita bersama-sama menjaga jiwa kita agar sentiasa terpelihara daripada perkara-perkara buruk yang mengundang kemarahan Allah SWT. Peliharalah jiwa kita agar sentiasa sentiasa berada di landasan Islam yang benar.


Sumber: Harian Metro (23 Oktober 2020)

Comments