JAUHILAH SIFAT SOMBONG AGAR HATI SENTIASA BERSIH DAN TAKUT PADA ALLAH SWT

 

Sifat sombong merupakan suatu penyakit hati yang mana ‘penghidapnya’ merasa bangga dan memandang tinggi atas diri sendiri. Orang yang bersikap sombong ini selalunya merasakan dirinya lebih baik atau mengagungkan dirinya sendiri serta menganggap orang lain lebih rendah berbanding dirinya. Meskipun sifat sombong merupakan fitrah yang sudah muncul sejak kewujudan manusia, akan tetapi ada baiknya jika seorang manusia itu diajarkan tentang adab dan budi bahasa seperti bersikap tawaduk.

Bukankah agama Islam telah mengajarkan kita untuk sentiasa merendah diri seperti mana kata pepatah “ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk”? Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembus bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-gunung.” (QS al – Israa’: 37).

Di dalam hal ini kita perlu menyedari hakikat bahawa tidak ada satu makhluk pun di dunia ini yang mengatakan bahawa dia berhak untuk berlaku sombong. Ini kerana, kesombongan atau kebanggaan itu menunjukkan kebesaran atau kehebatan diri seseorang. Sedangkan kebesaran atau kehebatan adalah kriteria mutlak yang menjadi milik Allah SWT, dan tidak ada seorangpun yang boleh memilikinya. Ini seiring dengan sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:

“Allah Ta’ala berfirman (di dalam Hadis Qudsi): Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi.”

Oleh yang demikian, kita sewajarnya sama-sama menginsafi dan berbalik semula kepada fitrah kita sebagai hamba Allah SWT yang lemah dan tidak berkuasa akan sesuatu perkara pun. Bersikap tawaduk lah kepada semua makhluk dan jangan sesekali mempunyai sedikit pun sifat sombong di atas muka bumi ini kerana kita sama sekali tidak berdaya dan berupaya menguasai semua perkara. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat biji sawi.” (HR Muslim).

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Comments