Sudah tentu kita pernah mendengar istilah ‘lidah lebih tajam dari mata pedang’ bukan? Lidah manusia memang luar biasa. Disebabkan lidah, mereka boleh selamat daripada api neraka dan mendapat amal paling baik. Bagaimanapun, gara-gara lidah juga boleh menyebabkan manusia memakan bangkai saudaranya, diazab di dalam kubur serta pahala amalan kebaikan mereka di dunia ini boleh ‘berpindah milik’. Ini disebabkan mereka selalu mengumpat, mengadu domba, mencaci serta memaki hamun saudaranya orang lain.
Perbuatan mengumpat atau istilah lain disebut sebagai ghibah misalnya, diibaratkan sebagai memakan saudaranya yang sudah meninggal dunia. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan terbabit) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (QS al – Hujurat: 12).
Mengumpat juga boleh ditakrifkan sebagai bercakap perkara yang benar berlaku pada diri seseorang. Apatah lagi perkara itu tidak benar sepertimana dikatakan, maka ia akan menjadi fitnah. Memang sangat mudah untuk mengumpat, contoh yang paling nyata boleh dilihat adalah jika kita bekerja satu pejabat dan hanya hidup berkelompok dengan golongan yang sekepala dengan kita. Apabila ada seorang dua yang tidak ‘sebulu’ dengan kita maka kita secara automatik akan mengata di belakang mereka. Adakah kita sanggup bertemu dan memohon maaf kepada orang yang kita umpat itu? Jika kita tidak mampu berbuat demikian, maka seluruh amalan kebaikan yang kita lakukan akan terhapus dan berpindah milik kepada orang yang diumpat itu.
Jelas, begitu mudah lidah menjadi penyumbang dosa kepada manusia. Bagaimanapun, lidah juga ‘aset’ memudahkan manusia memperoleh pahala. Betapa jijik amalan mengumpat itu apabila Allah bandingkannya seperti memakan daging saudara kita yang sudah mati. Oleh itu, jagalah perilaku kita agar tidak termasuk dengan golongan yang suka mengamalkan ghibah. Adalah lebih baik diam atau jangan berkata-kata seperti dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim).
Sumber: Harian Metro (30 Januari 2019).
Comments
Post a Comment