Kehadiran Islam dalam kehidupan manusia bermatlamat untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan manusia di dunia. Setiap hukum yang diberikan Islam adalah petanda rahmat Allah buat seluruh makhlukNya di muka bumi ini. Menerusi rahmat Allah seperti keselamatan, keamanan dan ketenteraman akan dapat diperoleh sekiranya kita mengamalkan seluruh syariatNya. Ini seperti firman Allah SWT dalam surah al – Isra’, ayat 15 yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengamalkan selaras dengan petunjuk Allah, maka sesungguhnya dia lakukan itu untuk keselamatan dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat (memungkiri syariat-Nya, maka sesungguhnya dia tersesat bagi dirinya sendiri.”
Apabila kita melakukan amalan yang baik, bukan sahaja kita disukai dan disayangi serta disenangi oleh ramai pihak, bahkan Allah SWT menambahkan pahalanya sebanyak mungkin. Firman Allah SWT:
“...dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (QS Ali ‘Imran: 134).
Justeru, Rasulullah SAW sentiasa menyeru umatnya menjadikan kehidupan akhirat sebagai tujuan kehidupan. Sabda Baginda bermaksud:
“Dan sesiapa yang menjadikan dunia tujuan hidupnya, maka Allah akan mencerai-beraikan segala urusannya, meletakkan kefakirannya di antara kedua matanya dan dunia tidak datang kecuali hanya sekadarnya. Sesiapa yang menjadikan akhirat tujuan hidupnya, maka Allah akan memudahkan segala urusannya dan menjadikan kekayaan dalam hatinya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (tidak pernah menguasai hati, semakin kaya semakin bersyukur).” (HR Ibnu Majah).
Mengerjakan amalan kebaikan itu adalah tuntutan agama. Berbuat baik akan memberi manfaat kepada diri sendiri, masyarakat dan negara. Tuntutan berbuat baik meliputi seluruh makhluk khususnya sesama manusia. Sifat baik kepada semua orang akan menjamin perpaduan nasional dan kestabilan sosial. Oleh yang demikian, kita perlu beringat bahawa setiap amalan yang dikerjakan haruslah tidak tersasar daripada niat untuk mendapat pahala.
Sumber: Harian Metro (12 November 2021)
Comments
Post a Comment