Memang tidak dapat dinafikan bahawa perbuatan memprovokasi agama sejak kebelakangan ini menyebabkan timbulnya tindakan rusuhan di serata tempat. Tindakan provokasi agama atau perbuatan yang mencetuskan kemarahan dan menyinggung sensitiviti pegangan serta kepercayaan orang lain amalan terkutuk yang dilarang dalam ajaran Islam.
Provokasi adalah sifat dan amalan yang didalangi oleh syaitan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 48 yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: 'Pada hari ini tidak ada sesiapa pun daripada umat manusia yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku adalah pelindung serta penolong kamu.' Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: 'Aku berlepas diri daripada kamu kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangat berat azab seksa-Nya."
Islam mengajar umat manusia supaya tidak membalas setiap cercaan yang dihamburkan sebaliknya tindakan membalas serangan musuh di medan perang hanyalah bagi mempertahankan diri. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah membalas terhadap golongan yang memusuhi dengan kata-kata kesat sebaliknya baginda tersenyum dan memberikan nasihat secara berhemah serta tidak menyakiti atau melukakan perasaan orang lain. Kita sering diingatkan agar tidak mudah melatah terhadap cacian dan kejian. Ini seperti yang disabdakan oleh Baginda SAW di dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu." (HR Bukhari).
Agama Islam menitikberatkan nilai kasih sayang dan sifat mengambil berat terhadap manusia sama ada sesama Islam mahupun dengan bukan Islam. Justeru sebarang tindakan berbentuk keganasan termasuk yang dilakukan oleh umat Islam sendiri bukanlah mencerminkan ajaran Islam yang sebenar kerana Islam menentang segala bentuk penindasan dan kezaliman. Ajaran Islam juga menegah umatnya daripada menyakiti orang lain apatah lagi membunuh tanpa hak.
Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab bagi umat manusia untuk memelihara kemuliaan itu dengan melindungi keselamatan dirinya serta orang lain pada setiap masa dan bertanggungjawab untuk menyebarkan mesej kedamaian dan keharmonian Islam kepada seluruh dunia selaras dengan firman Allah SWT:
"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah.' Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: 'Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang Islam.” (QS Ali ‘Imran: 64).
Sumber: Harian Metro (11 Februari 2023).
Comments
Post a Comment