JANGAN MERASA SEDIH DAN DENDAM APABILA DIHINA DAN DICACI GANJARAN PAHALA ALLAH SWT MENANTI BAGI UMAT ISLAM YANG SABAR
Kita tidak boleh memaksa semua orang suka kepada kita. Kadang kala di luar pengetahuan kita, kita menjadi bahan hinaan, cacian dan cercaan mereka. itulah lumrah kehidupan manusia. Apabila senang dicari dan apabila sudah jatuh susah dibuang umpama kain buruk. Sedih memang sedih, namun ia bukan ‘tiket’ untuk kita menyimpan dendam kepada orang yang menghina dan mencaci kita. Jangan sesekali membalas perbuatan itu dengan perbuatan yang sama. Rasulullah SAW bersabda:
Mencaci orang Islam (Muslim) adalah perbuatan fasik dan membunuhnya adalah perbuatan kufur." (HR Muslim).
Mahukah kita menjadi Muslim yang kufur? Allah SWT lebih suka agar kita bersabar kerana setiap perbuatan itu pasti ada kifarahnya yang Allah SWT telah sediakan buat mereka. Sebaiknya, orang yang mendapat hinaan atau cacian sebaiknya tidak melakukan balasan mencela orang yang menghina dirinya itu kerana Allah SWT akan mengurniakan pahala buat dirinya. Kita tidak boleh bersedih apabila ada seseorang yang dengan sengaja menghina dan merendahkan kita kerana orang tersebut sedang memberikan ‘hadiah’ kepada kita iaitu kebaikannya (pahalanya) kepada kita dan dalam masa yang sama Allah SWT menghapus dosa-dosa kita dari celaan yang kita terima. Dengan kata lain, apabila kita sedang dihina atau direndahkan orang lain, maka Allah akan memberikan kita pahala apabila kita bersabar.
Oleh itu, bersabarlah. Ganjaran Allah SWT kepada orang yang bersabar saat diri mereka dihina dan dicela itu sangat tinggi nilainya. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira.” (QS al – Zumar: 10).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment