Hidup di dalam dunia yang serba mencabar pada hari ini amat sukar buat manusia untuk bertahan hidup, apa lagi ianya berkaitan dengan soal pengurusan kewangan. Jika dilihat kepada trend kehidupan masa kini, begitu ramai sekali yang berbelanja mengikut kehendak nafsu berbanding dengan keperluan. Sudahlah begitu, ditayang-tayangnya pulak barangan mewahnya di media sosial untuk tatapan umum. Benar jika ada yang bercakap “alah, sekali sekala reward untuk diri sendiri”. Akan tetapi, adakah ia boleh dijadikan alasan untuk kita membazir? Firman Allah SWT:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (QS al – Baqarah: 168).
Allah SWT menegaskan pembaziran dikaitkan dengan tabiat makhluk yang abadi dilaknati iaitu syaitan. Maka ia sangat serius dan terkait langsung dengan kekufuran kepada Tuhan dan mengingatkan bahawa syaitan adalah musuh umat manusia yang sebenarnya. Pembaziran ada kaitan dengan ciri keangkuhan. Inilah ciri syaitan yang dilaknati. Dengan menanam sifat angkuh dan seterusnya menyuburkan sifat membazir serta akhirnya menebarkan ‘itiqad kekufuran kepada Tuhan, ikhwan syayatin berkembang sehingga membentuk tamadun.
Perlu diingatkan, dunia bakal berhadapan dengan gelombang inflasi tinggi yang akan menyebabkan nilai matawang jatuh dan harga barang menjadi mahal belipat kali ganda. Namun, masih ramai Muslim gagal memahami konsep keperluan dan kehendak sebenar mengikut ajaran Islam. Lebih mengecewakan ada yang tidak cakna berkaitan halal dan haram dalam penggunaan, pendapatan dan pengurusan wang.
Justeru, antara cara paling efektif menyampaikan kesedaran ini adalah mendekati masyarakat dan memberi kefahaman dari hati ke hati untuk mereka lebih sedar konsep kepenggunaan dan pengurusan kewangan dari perspektif Islam, terutama berkaitan dengan kawalan hawa nafsu. Pendedahan mengenai keperluan melebihi kehendak harus diterangkan dengan lebih jelas agar umat Islam faham mengenai konsep kesederhanaan agar mereka menjadi bijak dalam pengurusan kewangan dan pembangunan diri.
Rasulullah SAW bersabda:
"Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan." (HR Baihaqi).
Sumber: Berita Harian (24 Februari 2023).
Comments
Post a Comment