PUASA BUKAN ALASAN UNTUK MELAKUKAN PEMBAZIRAN - BULAN RAMADAN ADALAH BULAN UNTUK BERHEMAH

Hari ini sudah pun memasuki 6 Ramadan 1444 Hijrah bermakna sudah enam hari kita menjalani ibadah puasa. Seiring dengan bulan puasa yang penuh dengan keberkatan ini, sudah pasti ada di antara kita yang seronok untuk meraikan majlis berbuka puasa bersama keluarga dan teman-teman di luar. Namun, apa yang menyedihkan pembaziran sering terjadi. Bagai sudah menjadi sebuah ‘tradisi’ apabila setiap kali buffet Ramadan diadakan di hotel-hotel mahupun di restoran-restoran, sering terjadi pembaziran makanan yang keterlaluan.


Apakah kita tidak mengambil ibrah dari keadaan saudara-saudara seagama kita di wilayah bergolak seperti Palestin dan Syria? Mereka terputus bekalan makanan akibat daripada peperangan dan terpaksa mencatunya hatta semasa bulan puasa sekalipun. Tahukah kita bahawa di Malaysia saban tahun kita sering membazirkan sekitar 15,000 metrik tan makanan sehari (dari jumlah itu, 3000 metrik tan sehari masih boleh dimakan). Lebih berat lagi 635,000 metrik tan makanan dibuang dalam bulan Ramadan sahaja? Kita ini apa, umat Islam yang “ikhwan syayathin” (saudara syaitan)?Kalau begitu, sia-sia sahajalah pahala puasa kita dan kita sekadar mendapat lapar dan dahaga sahaja. Firman Allah SWT:


“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah Engkau membelanjakan hartamu Dengan boros Yang melampau. Sesungguhnya orang-orang Yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk Yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (QS al – Israa: 26-27).


Pembaziran ada kaitan dengan ciri keangkuhan. Inilah ciri syaitan yang dilaknati. Dengan menanam sifat angkuh dan seterusnya menyuburkan sifat membazir serta akhirnya menebarkan ‘itiqad kekufuran kepada Tuhan, ikhwan syayatin berkembang sehingga membentuk tamadun. Perbelanjaan sia-sia melibatkan perbelanjaan ke atas sesuatu yang halal secara berlebih-Iebihan, melebihi dari had keperluan. Perbelanjaan seumpama ini tidak wajar kerana ia tetap dikira membazir. Barang yang terlebih itu akan rosak dan terbiar, sedangkan orang lain yang lebih memerlukan boleh mengambil manfaat daripadanya jika ia diberikan kepada orang tersebut. Perbelanjaan jenis ini agak sukar untuk dikenalpasti dan diukur.


Oleh itu, berhemah lah sepanjang bulan Ramadan ini. Jangan kata puasa sebagai salah satu alasan untuk kita melakukan pembaziran. Bahkan, Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut bertitah dan menyeru  rakyat supaya tidak mensia-siakan pahala Ramadan dengan melakukan pembaziran makanan. Baginda juga menyeru seluruh umat Islam untuk mengaut keberkatan di bulan Ramadan yang mulia bagi meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri dan menggandakan ibadah serta amalan serta meminta semua umat Islam untuk memperbanyakkan ibadah sunat dan amalan kebajikan, memperkukuhkan ukhuwah sesama insan serta meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan merugikan.


Wallahualam.


Sumber: Maktabah al – Bakri (15 Februari 2022)

Comments