AJARKAN DIRI DAN KELUARGA CARA MENGAWAL EMOSI - EMOSI YANG TIDAK TERKAWAL KELAK AKAN MEMBAWA KEBINASAAN

 

Tragedi yang menimpa seorang remaja berusia 15 tahun yang dipukul dengan teruk oleh sekumpulan remaja berusia 17 tahun di Ampang minggu lalu hanya kerana mahukan “respect” nyata menunjukkan kawalan emosi manusia akhir zaman yang semakin tidak terkawal tidak kira dalam setiap peringkat umur.

Marah merupakan satu perasaan yang wujud secara semulajadi dalam diri setiap manusia. Ia juga satu ekspresi yang muncul kadangkala secara spontan tatkala kita disakiti, dizalimi atau menghadapi sebarang masalah. Bahkan, Rasulullah SAW sendiri pernah berasa marah dalam beberapa keadaan. Namun, marah yang keterlaluan akan mendatangkan lebih banyak kebinasaan dan keburukan. 

Oleh itu, adalah lebik baik sekiranya kita mengawal emosi dan amarah kita dari terus membelenggu. Menahan amarah dan mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan dituntut. Allah SWT telah berfirman dalam al-Qur’an, tatkala menyifatkan beberapa ciri orang yang bertakwa:
 
“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.” (QS Ali ‘Imran: 134).

Antara cara untuk mengawal amarah dan emosi adalah:

1) Membaca Ta’awuz dan berdoa.

2) Duduk dan baring. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:


“Jika salah seorang dari kalian marah dan ia dalam keadaan berdiri, hendaklah ia duduk. Jika rasa marahnya hilang (maka itu yang dikehendaki), jika tidak hendaklah ia berbaring.” (HR Abu Daud).

3) Berwuduk.

4) Berfikir tentang keburukan amarah. 


5) Beredar ke tempat lain.

6) Memikirkan ganjaran di akhirat kelak.


7) Berdiam seketika. 

8) Mengelak daripada membuat sebarang keputusan besar. 


Sesungguhnya, menjauhkan diri dan mengawal sifat marah itu boleh mengelakkan berlakunya perkara – perkara buruk seperti pertengkaran, pergaduhan, dendam, dengki dan saling bermusuhan. Oleh itu jauhi sifat marah dan kawal emosi kita semampu boleh dengan cara mencegah marah dari terus menguasai diri kita. Ajarkan juga kepada keluarga dan sahabat handai kita dalam cara mengawal emosi agar tidak terbawa kepada suatu perkara yang lebih buruk. 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments