Walaupun bulan Ramadan sudah berlalu meninggalkan kita hampir sebulan dan bulan Syawal sudah pun kita masuki dalam minggu ketiga, itu tidak bermakna amal yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan itu perlu terhenti. Dalam keasyikan dan penuh rasa ceria meraikan hari raya seharusnya kita tidak lupa kepada amalan baik, amal murni yang sudah dilakukan sepanjang bulan puasa yang lalu. Amalan mulia Ramadan wajar terus kita kekalkan dalam menjalani kehidupan seharian meskipun bukan bulan puasa lagi. Usah ditunggu kedatangan Ramadan tahun hadapan, baharu kita mahu rancakkan kembali amalan mulia itu.
Jika di sepanjang bulan Ramadan lalu, kita memperbanyakkan amalan bersedekah, maka kita harus meneruskan amalan tersebut di bulan lain juga. Sikap dermawan dan suka bersedekah semasa bulan Ramadan itu sewajarnya terus kita kekalkan selepas berlalunya Ramadan dan menjadikan sikap suka bersedekah itu amalan peribadi yang kekal sepanjang tahun. Usah kerana berakhirnya Ramadan maka sifat bakhil mula bersarang kembali dalam diri dan hanya mahu menunggu datangnya Ramadan lagi baru menjadi seorang yang dermawan.
Selain itu, bulan Ramadan adalah bulan yang mulut begitu 'aman dan tenteram' daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat dan yang tidak bermanfaat. Sedayanya seseorang itu tidak mahu ibadah puasa di bulan Ramadan menjadi sia-sia lantaran melanggar etika berpuasa yang digariskan oleh Allah SWT. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
"Puasa itu perisai. Sekiranya seseorang berpuasa pada suatu hari, janganlah dia berkata perkataan yang kotor dan meninggikan suara. Sekiranya seseorang mencelanya atau mengajaknya bergaduh, katakanlah, "Sesungguhnya aku berpuasa." (HR Bukhari dan Muslim).
Jadi, sikap memelihara adab bertutur kata yang baik sebagai watak peribadi yang tidak terhad kepada bulan Ramadan sahaja. Usah dibataskan adab komunikasi sosial yang murni sekadar 'bersempadankan Ramadan.' Sebaliknya, adab berkomunikasi yang mulia dan penuh susila seharusnya menjadi karakter peribadi sepanjang masa selagi hayat dikandung badan. Sememangnya menjadi kewajipan bagi mereka yang mengaku Muslim untuk berakhlak mulia, bukan sahaja di bulan Ramadan malah bulan – bulan yang lainnya. Rasulullah SAW bersabda:
"Sesuatu paling berat ditimbang oleh Allah ditimbangan-Nya ialah akhlak yang baik." (HR At – Tirmidzi).
Sumber: Harian Metro (4 Mac 2021)
Comments
Post a Comment