WASPADA DENGAN AJARAN SESAT!!! JANGAN TERTIPU DENGAN “KARAMAH” (KEHEBATAN) SEORANG GURU YANG MENDAKWA MENERIMA WAHYU DARI ALLAH SWT
Imam Syafie pernah berkata, “Jika kamu melihat seseorang boleh terbang di udara, dan boleh berjalan di atas air, janganlah kamu tertipu dengannya sehingga kamu mengukur peribadi dan amalannya dengan pertimbangan neraca al-Quran dan as-Sunnah”. Penyataan Imam Syafie ini menggambarkan bahawa sebilangan manusia sangat mudah terpengaruh dengan keajaiban dan perkara-perkara pelik dan ganjil yang mampu dilakukan oleh seseorang manusia lain, lantas taksub kepadanya dan mengangkatnya sebagai guru mahupun Tuhan. Padahal tanpa disedarinya, individu yang diagong-agongkan itu mengamalkan ajaran sesat.
Faktor kehebatan atau ‘karamah’ seorang guru mampu mengaburi pandangan mata para pengikutnya lantas membina tembok taksub yang sukar dirobohkan. Sedangkan perkara-perkara ganjil itu tidak semestinya tergolong dalam ‘karamah’ para wali, tetapi juga boleh terjadi dengan perantaraan sihir yang didampingi jin dan syaitan. Justeru, aras piawaian yang diletakkan oleh Imam Shafie adalah cukup jelas iaitu sehebat mana sekalipun seseorang guru itu, sekiranya melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syarak, maka guru terebut pastinya bukan seorang guru yang layak untuk diikuti.
Contohnya, apabila seorang guru sesuatu kumpulan mengaku dirinya adalah Tuhan, sudah pastinya akal yang waras akan menolak dakwaan ini kerana mustahil manusia seperti mereka yang terdedah kepada kesakitan dan kematian boleh menjadi Tuhan. Sesungguhnya, dakwaan pelik ini tertolak dengan mudah tanpa perlu penelitian dan rujukan kepada para alim ulama. Demikian juga individu yang mendakwa dirinya dilantik oleh Allah SWT sebagai nabi bagi mewakili kelompok tertentu, nescaya dakwaannya itu secara terang-terangan adalah suatu pembohongan yang nyata.
Dalam Surah al-Ahzab, ayat 40, secara jelas menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah nabi akhir zaman dan tidak ada lagi rasul dan nabi setelah kewafatan Baginda. Dakwaan seseorang yang menyatakan menerima wahyu dari Tuhan secara pastinya perlu ditolak kerana secara mafhumnya wahyu disampaikan oleh malaikat Jibril dan berakhir setelah kewafatan Rasulullah SAW. Jika hendak menggunakan akal yang logik, pengikut ajaran sesat perlu berfikir bagaimana guru mereka boleh mendakwa menerima wahyu sedangkan para sahabat Nabi Muhammad SAW yang jauh lebih mulia dan dijamin syurga tidak seorang pun mereka mendakwa pernah mendapat wahyu dari Allah SWT. Renung-renungkan.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor
Comments
Post a Comment