JAGALAH AKHLAK SEBAGAI SEORANG MUSLIM - SIKAP AMARAH YANG MELAMPAU AKAN MEMBINASAKAN DIRI

 

Zaman teknologi serba canggih apatah lagi dengan kehadiran pelbagai platform media sosial pada hari ini membuatkan semua perbuatan manusia dirakam dan dijadikan bahan sebaran hingga mengundang kecaman dan hinaan oleh warganet alam maya. Ini termasuklah perbuatan yang tidak bermoral ataupun perbuatan yang memancing emosi amarah.

Seperti beberapa video yang dimuatnaik oleh beberapa pengguna media sosial tentang perbuatan dua orang lelaki yang secara sengaja menimbulkan kekecohan di tempat awam dengan meluahkan amarah mereka. Dalam sebuah video diperlihatkan seorang lelaki yang secara tiba – tiba mengamuk di sebuah kedai makan gara – gara pelayan kedai tersebut memanggilnya dengan gelaran “pakcik” dan bukannya “abang”. Di sebuah video lain pula diperlihatkan situasi di mana seorang lelaki mengamuk dan menunjal kepala seorang wanita gara – gara perselisihan faham di atas jalan raya.

Antara kehilangan terbesar yang melanda umat akhir zaman ini ialah apabila adab dan akhlak tidak lagi menjadi pakaian serta perhiasan dalam kehidupan insan. Adab dan akhlak ditekankan dalam segenap aspek kehidupan meliputi muamalah sesama manusia. Tuntutan sifat sopan atau bermoral terhadap saudara-mara, jiran tetangga serta masyarakat secara umumnya, sama ada di rumah, tempat kerja dan sebagainya adalah termasuk akhlak yang mulia. Amalan memelihara hubungan baik sesama manusia walaupun berbeza darjat dan kedudukan, pandangan dan pemikiran akan melahirkan masyarakat yang saling menghormati. Perkara tersebut penting selain menjaga hubungan dengan Allah SWT.

Islam sebagai agama indah, amat menegah umatnya daripada melayani sifat marah, apa lagi berkelakuan baran keterlaluan. Nabi Muhammad SAW banyak kali mengingatkan umat Baginda mengenai kejinya nafsu marah yang tidak terkawal kerana ia antara pintu digunakan syaitan dan iblis dalam menguasai manusia. Rasululah SAW bersabda: 

“Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah.” (HR Bukhari)

Tanamkan dalam diri nilai kasih sayang dan menghargai hak orang lain. Sedarlah kalau kita suka marah dan tidak hiraukan perasaan itu, bermakna kita suka berkawan dengan syaitan dan syaitan itu akan membawa kita ke lembah kebinasaan. 

Justeru, orang Islam perlu beringat ganjaran besar pahala menanti individu yang boleh dan berupaya mengawal perasaan marah kerana ia bukanlah usaha mudah. Tanpa kekuatan dalaman manusia akan tewas dengan ‘senjata’ syaitan.

Sumber: Berita Harian (20 Ogos 2019)


Comments