KEHIDUPAN PERLU DISELARASKAN DENGAN TUNTUTAN WAHYU, BUKAN WAHYU YANG DITAFSIRKAN SEMULA AGAR SELARI DENGAN GAYA HIDUP MODEN - TOLAK ISLAM LIBERAL!!!
Fahaman Islam liberal adalah suatu perkumpulan tafsiran-tafsiran baru tentang Islam yang nampaknya tidak bersetuju dengan ijmak dan jumhur ulama. Mereka menjadikan situasi kehidupan moden sebagai panduan dalam melahirkan satu tafsiran Islam baru. Situasi moden ini juga dijadikan kayu pengukur dalam menilai dan membuang apa yang dianggap sebagai sudah ketinggalan daripada tradisi pemikiran Islam yang diwarisi.
Berdasarkan huraian tersebut, tradisi warisan yang disebut tidak lain tidak bukanlah adalah dirujuk kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah stabil sejak sekian lama. Ciri menolak kestabilan ini merupakan akibat langsung kepada prinsip penyesuaian berterusan dengan keadaan semasa yang sudah tentunya akan terus berubah-ubah. Hal ini menunjukkan bahawa Islam liberal berpegang kepada prinsip liberal barat dan memahami atau mentafsir semula wahyu berdasarkan idelogi sesat barat tersebut.
Seharusnya, wahyu itu difahami sebagai suatu nilai yang menstrukturkan kehidupan. Justeru, umat Islam perlu berusaha mengubah dan mencorakkan kehidupan mereka agar selaras dengan nilai wahyu. Namun begitu, sememangnya diakui ada perkara-perkara tertentu yang memerlukan sikap bertolak-ansur atau rukhsoh (kelonggaran dengan syarat) dalam menurut tuntutan wahyu. Perlulah difahami bahawa, yang diikuti itu adalah wahyu, bukan kebiasaan manusia, dan yang diubah adalah kebiasaan itu, bukan fahaman yang benar terhadap wahyu, biarpun fahaman tersebut berbeza dengan adat kebiasaan semasa.
Sumber: Jurnal Usuluddin, Vol.40 – Universiti Putra Malaysia
Comments
Post a Comment