KONTROVERSI “SELAWAT DAN QASIDAH” UNTUK PENGANUT AGAMA KRISTIAN - UMAT ISLAM DIMINTA AGAR BERWASPADA
Isu ini bukanlah isu yang baru, namun ia dihangatkan kembali kerana adanya pelbagai media sosial membongkar kegiatan golongan kristianisasi secara diam dalam mempengaruhi umat Islam di dunia ini. Baru – baru ini heboh di media sosial tentang satu video yang diperlihatkan bagaimana penganut agama Kristian di negara Arab sedang menyanyikan lagu untuk memuji Tuhan mereka. Namun apa yang mengejutkan, lantunan irama tersebut menyerupai selawat dan qasidah seperti mana umat Islam berselawat.
Sebelum ini, heboh juga di media sosial bagaimana penganut agama Kristian yang melantunkan bacaan doa menyerupai bacaan sepotong ayat al – Quran dari negara seberang. Tidak hairan, sekiranya ia datang dari negara seberang kerana pemerintah negara mereka membenarkan penggunaan kalimah-kalimah yang digunakan oleh agama Islam ke dalam agama lain. Namun di negara kita, ia adalah hak eksklusif buat umat Islam di negara ini berdasarkan Perkara 3 (1), Perlembagaan Persekutuan.
Apa yang penting dalam hal ini, umat Islam hendaklah berhati – hati dalam melantunkan sebarang bentuk selawat atau qasidah yang tidak diketahui maksud dan maknanya. Perlu diketahui bahawa di negara – negara Arab itu tidak semuanya beragama Islam. Sebagai contoh di Arab Saudi, negara tersebut mempunyai 4.4% atau sekitar 1,207,800 warganegaranya yang beragama Kristian dan bahasa perantara yang digunakan sudah semestinya Bahasa Arab. Jadi, tidak mustahil alunan lagu memuji Tuhan mereka juga ada terselit lantunan Arab seperti selawat dan qasidah.
Oleh itu, siasatlah kesahihan dan maksud sebenar dalam melantunkan alunan selawat dan qasidah. Berhati – hatilah dengan jarum halus pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyesatkan umat Islam. Bahkan Rasulullah SAW juga telah menasihatkan umatnya seperti hadis yang disabdakan:
“Jangan kamu melampau ke atas ku, sebagaimana melampaunya golongan Nasara terhadap anak Maryam (Nabi Allah Isa AS). Sesungguhnya aku hanya hamba Allah. Maka katakanlah: Hamba Allah dan RasulNya.” (HR Bukhari).
Ingatlah, siasat dahulu segala qasidah yang dibawa dari negara luar dan berhati – hati dengan jarum halus Yahudi dan Nasrani yang cuba untuk mempengaruhi umat Islam untuk turut sesat bersama – sama mereka. Ini kerana dendam mereka terhadap umat Islam amatlah berbahaya.
Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang yahudi dan nasrani tidak akan redha kepadamu sehingga kamu mengikut mereka.” (QS al – Baqarah: 120).
Sumber: Blog Buletin Samudera.my (https://www.samudera.my/lagu-pujian-kristian-ala-selawat-nabi-umat-islam-dinasihat-berhati-hati)
Comments
Post a Comment