ISU PEMBAKARAN AL-QURAN DI DENMARK FENOMENA ISLAMOFOBIA MAMPU MENCETUSKAN KETEGANGAN ANTARA AGAMA DAN ANCAMAN KETENTERAMAN AWAM


Semenjak tragedi 11 September di New York, istilah islamofobia semakin tersebar penggunaanya. Umat Islam mula dipandang serong dan dinilai sebagai golongan yang mencetuskan segala permasalahan dan sebuah agama yang menganjurkan keganasan. Secara istilahnya Islamofobia boleh ditakrifkan sebagai suatu bentuk ketakutan terhadap agama dan umat Islam atas kerana memiliki pandangan yang tertutup mengenai Islam disertai dengan sangkaan prejudis bahawa Islam  adalah agama yang ketinggalan dan tidak sesuai untuk diterapkan nilai-nilai atau mempunyai pengaruh dalam masyarakat.

Disebabkan ada rasa tidak selamat dan ‘insecure’, maka salah satu kaedah untuk menaikkan kemarahan umat Islam adalah dengan bertindak membakar kitab suci yang diagungkan oleh umat Islam, al-Quran, sebagai tanda provokasi terhadap kewujudan umat Islam. Sebagai contoh, beberapa minggu lalu, berlakunya insiden memijak al-Quran sebelum dibakar di hadapan masjid terbesar di Stockholm, Sweden. Tidak reda lagi kisah tersebut, baru-baru ini insiden yang sama berlaku dan kali ini berlaku di Denmark yang dicetuskan oleh sebuah kumpulan aktivis anti-Islam. 

Tindakan hina seperti ini melambangkan mereka (orang kafir) berasa ‘insecure’dengan pegangan agama mereka dan berasa terancam apabila wujudnya masyarakat Islam di persekitaran sosialnya. Sedangkan negara Denmark dan Sweden mempunyai majoriti masyarakat beragama Kristian, namun mengapa masih lagi berasa iri dengan umat dan agama Islam yang tidak pernah menganggu ketenteramannya. Sikap prejudis terhadap orang Islam seharusnya dibuang kerana kehidupan aman damai sepatutnya berlaku jika wujudnya toleransi.

Jika dinilai sesebuah agama itu secara umum, sudah pasti tidak semuanya indah. Begitu juga dengan golongan Kristian mahupun agama lain, sudah pasti mereka turut mempunyai kumpulan pengganas tersendiri, lebih-lebih lagi Israel yang sudah lah merampas negara umat Islam, malah menindas dan memerangi penduduk tempatan lagak seperti mereka yang punya. Namun, mengapa tiada satu pun negara Barat membantah? Sesungguhnya mana-mana agama tidak menganjurkan untuk bertindak ganas, tetapi disebabkan segelintir pihak yang mentafsir sesuatu ayat al-Quran mahupun hadis mengikut hawa nafsu, maka mereka memikirkan perang dan mengangkat senjata adalah satu-satunya jalan untuk menegakkan agama Islam. Itulah makna ‘jihad’ yang salah ditafsirkan. 

Tindakan tersebut secara tidak langsung telah memberi interpretasi buruk orang bukan Islam terhadap agama dan umat Islam secara keseluruhan dan tercetusnya Islamofobia. Carilah kedamaian, sesungguhnya ianya jua adalah salah satu perbuatan ‘jihad’/

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia -JUL 2023, Sinar Harian-27 JUL 2023 dan Berita Harian - 29 JUN 2023


 

Comments