WAHAI UMAT ISLAM - JANGAN TERLALU MENYEBARKAN KETAKUTAN AKHIR ZAMAN SEBALIKNYA PERSIAPKANLAH BENTENG KEIMANAN

 

Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru, malah dengan kecanggihan teknologi dan kemunculan pelbagai platform media sosial, semakin banyak ‘content – content’ yang dimuatnaik bertujuan untuk meraih tontonan yang tinggi. Ini termasuklah ‘content’ yang kononnya berunsurkan islamik tetapi sebaliknya menakut – nakutkan orang ramai dengan kemunculan tanda – tanda besar akhir zaman. Sebagai contoh, ‘content’ yang sering dimuatnaik yang mengisahkan mengenai seorang lelaki Pakistan bernama Muhammad Qasim yang dikatakan sebagai sosok ‘Imam Mahdi’. 

Tidak kurang juga ada yang memuatnaik ‘content’ yang mengatakan bahawa Dajjal sudah hampir muncul dan ketika itu tidak terdapat apa-apa makanan. Lalu kandungan itu menyarankan orang ramai untuk membuat persediaan dengan menyimpan makanan secukupnya. Ya, benar akan tiba suatu masa akan terbitnya tanda – tanda besar akhir zaman, tapi itu tidak bermakna kita sebagai umat Islam perlu menyebarkan ketakutan kepada orang lain. Cuma sekadar berpesan – pesan ia sudah cukup memadai. Janganlah kita terlalu memandai – mandai meramal masa kedatangannya hari kiamat kerana Rasulullah SAW sendiri tidak tahu bila datangnya kiamat itu. 

Namun, sebagai umat Islam yang patuh dengan suruhan Allah SWT dan RasulNya, kita hendaklah sentiasa mempersiapkan diri dalam menghadapi hari tersebut. Bahkan, Rasulullah SAW bersabda:

"Siapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi maka dia akan dipelihara dari (fitnah) Dajjal." (HR Muslim).

Malah Imam al-Nawawi ketika menjelaskan hadis ini menyatakan bahawa dalam riwayat yang lain menyebut 10 ayat akhir dari surah al-Kahfi. Dikatakan bahawa sebab 10 ayat ini diberi keistimewaan oleh Allah SWT kerana padanya terdapat keajaiban dan tanda-tanda. Siapa yang menghayati 10 ayat awal dan 10 ayat akhir surah al-Kahfi maka dia tidak akan tergugat dengan fitnah Dajjal.

Oleh itu, janganlah kita menyebarkan ketakutan kepada masyarakat awam. Orang beriman sentiasa disuruh untuk bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku dalam hidup. Bila berlaku tahun-tahun kelaparan terbabit hanya Allah yang Maha mengetahui. Apa yang pasti, pada saat itu tiba Nabi SAW memberitahu bahawa makanan orang beriman ketika itu adalah zikir. 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments