Tidak semua apa yang kita mahukan di dunia ini dapat dicapai dan ditunaikan. Bukan semua perancangan yang kita sediakan mampu berlangsung dengan sempurna. Sesekali kita bertembung juga dengan situasi yang menyebabkan kegagalan. Bukan semua keinginan untuk hidup dalam kerangka yang diagendakan berjaya diterjemahkan dengan sebaik-baiknya. Ada ketikanya kita terpaksa berhadapan dengan keadaan yang mendukacitakan.
Misalnya dalam soal kematian, kita sudah pasti tidak akan menyangka akan kematian seseorang yang kita kenal. Ia bukan suatu situasi memberikan suasana emosi yang sedih dan memilukan. Ada yang berkata, 'Aku macam tak percaya si fulan dah tiada. Baru semalam aku bersama-samanya berbincang panjang urusan perniagaan.' Begitu juga dalam soal jodoh, apabila jodoh yang selama ini kita harapkan berakhir ke jinjang pelamin namun sebaliknya tidak kesampaian. Segalanya dalam pengetahuan Allah SWT belaka.
Dalam persoalan ini, kita kembali menghayati prinsip Rukun Iman yang keenam iaitu 'Percaya kepada qadak dan qadar Allah.' Prinsip iman mendidik hati kita supaya yakin dengan sepenuhnya bahawa setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita sudah termaktub dalam susunan takdir Allah SWT ke atas diri seseorang hambaNya. Jadi, dengan menghayati intipati prinsip Rukun Iman itu sudah tentu membuatkan kita sentiasa bersikap sabar menerima takdir yang mungkin kurang menyenangkan dan bersikap reda dengan ketentuan ditetapkan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya apabila Allah mencintai suatu kaum, Dia mengujinya. Barangsiapa yang reda terhadap ujian-Nya, dia memperoleh redaNya dan barangsiapa tidak suka, dia mendapat murka Allah." (HR At – Tirmidzi).
Dalam hal ini, kita mestilah percaya bahawa sekiranya kita berdamai dengan qada’ dan qadar Allah SWT, maka banyak hikmah yang kita perolehi. Antara hikmah tersebut adalah:
1) Lebih banyak bersyukur. Mereka yang beriman kepada qada dan qadar adalah orang yang akan lebih banyak bersyukur. Allah SWT berfirman:
“Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) daripada Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan." (QS An – Nahl: 53).
2) Lebih banyak bersabar. Hikmah kepada qada dan qadar adalah meningkatkan kesabaran. Seorang muslim akan menyedari bahwa segala sesuatunya yang terjadi adalah ketetapan dari Allah SWT dan hanya Dia yang mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.
3) Selalu berusaha. Keimanan kepada qada dan qadar membuat seseorang akan selalu berusaha melakukan yang terbaik. Dengan usaha daripada seorang manusia, maka Allah akan memberikan jalan yang ringan baginya.
4) Terhindar daripada sifat sombong.
5) Selalu berharap kepada Allah SWT. Tidak akan pernah putus asa daripada rahmat Allah SWT seseorang yang beriman kepada qada dan qadar karena ia percaya bahwa Allah SWT akan selalu memberikan yang terbaik bagi setiap orang yang beriman.
6) Lebih bertawakal. Hikmah beriman kepada qada dan qadar yang terakhir adalah lebih tawakal. Kita akan menjadi lebih ikhlas dan rela menerima setiap keputusan Allah SWT. FirmanNya yang bermaksud:
"Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Dialah yang mencukupinya" (HR al – Thalaq: 3).
Oleh itu, yakinlah dengan Rukun Iman terakhir yang ditetapkan oleh Allah SWT. Nescaya Allah SWT akan mengurniakan semangat tinggi untuk berdepan dengan apa jua situasi, baik yang menggembirakan kita mahupun mendukacitakan.
Sumber: Laman web UTM (https://people.utm.my/noreha/2022/01/24/la-tahzan-siri-10-terimalah-qadha-dan-qadar-allah/)
Comments
Post a Comment