ISU ‘CONTENT’ BERIBADAH DI MEDIA SOSIAL JANGAN TERLALU MENUNJUK SEBALIKNYA BERHARAPLAH AGAR AMALAN DITERIMA OLEH ALLAH SWT


Sejak akhir – akhir ini begitu banyak sekali video yang tular di media sosial berberapa individu yang membuat ‘content’ kononnya mereka sedang melakukan ibadah dan kebajikan. Tidak diketahui apa tujuan dan maksud dari ‘content’ tersebut, akan tetapi ia bukanlah satu sikap yang wajar dicontohi kerana dikhuatiri nawaitu yang jauh menyimpang. Tindakan mempamerkan sesuatu perkara sama ada yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar di media sosial itu, lebih dikenali sebagai flexing, iaitu sikap suka mempamerkan segala kemewahan atau kekayaan yang dimiliki bagi tujuan mendapat perhatian, pujian dan sanjungan orang lain.

Walau bagaimanapun, dalam konteks ibadah, flexing ini juga berlaku. Ia dapat diertikan sebagai perilaku mempamerkan diri dalam urusan ibadah menerusi kelebihan yang dimiliki dan pencapaian diperoleh. Akhirnya flexing di media sosial ini menampakkan kegiatan yang mempamerkan pelbagai amal ibadah dan kebajikan dengan tujuan mengharapkan respons berupa komentar, ikon like atau pos ulang daripada orang lain.

Tidak dinafikan setiap Muslim berkeinginan untuk menjadi seorang hamba yang kuat dan rajin melakukan ibadah atau amal soleh. Segala ibadah yang dilakukan itu, baik berupa ibadah wajib mahupun ibadah sunat, adalah salah satu bentuk penghambaan manusia yang sepenuhnya kepada Allah SWT. Orang yang melakukan amal kebaikan dengan penuh ketauhidan, keikhlasan dan mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka ia akan diredai Allah SWT. Setelah mendapat keredaan Allah SWT, seseorang hamba itu akan mendapat al-falah di dunia dan di akhirat sebagai hasilnya. Sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hendak mencari keredaan manusia, Allah akan memurkainya dan menjadikan setiap orang yang meredainya itu benci terhadapnya. Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dibenci oleh manusia, nescaya Allah akan meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu reda terhadapnya sehingga keredaan Allah itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya. Dalam hal ini dia mendapat perhatian Allah." (HR At – Thabrani).

Ketahuilah, setiap Muslim wajib melaksanakan perintah Allah SWT termasuk dalam hal berkaitan amal ibadah dengan bersungguh – sungguh tanpa perlu menayangkan kepada sesiapa jua. Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran tentang manusia yang melakukan amal kebaikan ketika di dunia, namun semuanya tidak diterima oleh Allah SWT. Amalan baik yang banyak namun tidak didasari dengan keimanan kepada Allah SWT kesemuanya hanya sia-sia sebagai debu yang berterbangan. Jadi, beribadahlah dengan niat yang Ikhlas dan penuh pengharapan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa – dosa kita dan amalan kita diterima olehNya. Firman Allah SWT:

 "Dan Kami (Allah) tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan daripada jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami (Allah) jadikan ia terbuang sebagai debu yang berterbangan." (QS al – Furqan: 23).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments