JANGAN TERLALU TAKSUB (GHULUW) HINGGA ‘BUTA HATI’ HUKUM HAKAM AGAMA


Tidak salah untuk menyokong sesuatu atau seseorang asalkan jangan terlalu taksub. Namun, umat Islam pada hari ini seakan tidak mengendahkan larangan agama sehingga sanggup bernazar atau membuat niat yang tidak sepatutnya. Ada beberapa contoh yang sudah diperlihatkan antaranya tentang ‘posting’ seorang pemuda yang mahu berjalan kaki tanpa seurat benang bermula dari Kuala Lumpur ke Johor sekiranya pasukan bola sepak Harimau Selatan tersebut kalah kepada pasukan bola sepak Kuala Lumpur sekitar dua tahun lalu.

Selain itu, ada juga postingan yang terlalu taksub kepada sesebuah parti politik hingga sanggup menyentuh tentang hukum hakam Islam seperti seorang suami yang sanggup menjatuhkan talak kepada sang isteri sekiranya parti politik ataupun pemimpin negara ini digulingkan, nauzubillahiminzalik! Apa yang perlu kita ketahui negara kita adalah negara berdemokrasi dan bebas untuk menyokong mana – mana parti politik namun ia bukanlah alasan untuk kita sebagai penyokong untuk terlalu taksub hingga ada yang sanggup menjatuhkan ‘fatwa’ mereka sendiri sekiranya menyokong parti lawan Bahkan menjadi normalisasi dalam dunia politik apabila tokoh-tokoh dan juga pengikut setiap parti ini saling memburukkan, menjatuhkan lawan masing-masing dengan cara yang kotor. Bukankah perkara ini amat ditegah oleh Rasulullah SAW? Bahkan dalam sebuah hadis sabda baginda yang bermaksud:

 “Wahai sekalian manusia! Waspada kalian daripada sikap melampau dalam agama, sesungguhnya telah binasa orang-orang terdahulu disebabkan melampau dalam agama.” (HR Ibnu Majah).

Perlu kita ketahui, apabila kita terlampau ghuluw atau berlebih – lebihan akan sesuatu perkara atau sesuatu situasi, kita akan menyebabkan:

1) Membantutkan fungsi akal. Kesan buruk taksub dan ghuluw ini dapat dilihat dengan jelas, apabila kebenaran yang dibawa dengan hujah dan fakta yang tidak dapat lagi disangkal oleh akal ditepis begitu sahaja, tanpa menimbang penghujahan dan fakta yang dikemukakan. Bukan itu sahaja, golongan taksub dan ghuluw ini juga dapat dikenal pasti dengan sikap emosi mereka apabila dipertikaikan dan dinafikan pandangan, kumpulan atau tokoh yang mereka gemari. 

2) Merosakkan wajah agama. Sesungguhnya, agama Islam sudah sempurna. Tidak ada yang mampu menokok tambah atau menghapus kurang walaupun satu amalan atau ibadah di dalam agama ini. Mustahil! Hal ini seperti apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:


“Pada hari ini, Aku sempurnakan agama kalian (Islam)! Dan Aku cukupkan bagi kalian nikmat-Ku, serta Aku redha agama Islam sebagai agama kalian.” (QS Al – Maidah: 3).

3) Memundurkan umat Islam. Cara berfikir golongan pentaasub dan ghuluw ini sangat rendah. Disebabkan kelemahan ini, mereka tidak mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain di atas muka bumi ini. Pemikiran seperti inilah yang menjadikan umat Islam mundur dan dipandang rendah oleh bangsa-bangsa lain di dunia ini.

Maka dari itu, janganlah kita sesekali ghuluw atau taksub akan sesuatu perkara. Islam adalah agama sederhana dan sewajarnya kita besederhana di dalam semua hal. Sikap ghuluw ini sangat ditegah oleh Allah SWT. Bahkan banyak ayat al-Quran yang berkisarkan azab Allah tentang mereka yang taksud kepada sesuatu. Semoga kita semua menggunakan nikmat neraca akal dan ilmu yang diberikan oleh Allah SWT sebaik mungkin.

Sumber: Portal Jejak Tarbiah (https://www.jejaktarbiah.com/3-kesan-buruk-sikap-taasub-dan-ghuluw-dalam-agama/)

Comments