MEMPERMAINKAN AKIDAH ISLAM HANYA SEMATA DEMI SEBUAH ‘CONTENT’ DI MEDIA SOSIAL ISLAM DIJADIKAN ‘MARKETING’ UNTUK MENAIKKAN ‘RATING’

 

Terlalu banyak ‘content-content’ di media sosial pada hari ini yang mempersendakan agama Islam. Bukan sahaja dari kalangan bukan Islam, malah segenlintir umat Islam sendiri terjebak dalam melakukannya. Hal ini dek kerana kurangnya pengetahuan dalam mendalami hukum hakam agama dan akhirnya berakhir dengan memperolokkan akidah Islam itu sendiri. Sebagai contoh, tular tentang video pempengaruh media sosial di TikTok yang dikenali sebagai ‘Abang Tesla’ yang memuatnaik video ‘3 jam sebelum menikah’.

Hasil daripada video tersebut menuai hasil kecaman dan rata – rata pengguna TikTok ‘memparodikan’ semula video tersebut dengan tujuan untuk memerli kelakuan pempengaruh terbabit. Dalam satu temubual secara maya di antara sebuah portal berita dan juga pendakwah terkenal, Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, pendakwah itu menegaskan bahawa segala bentuk ‘parodi’ yang berkaitan dengan akidah Islam terutama sekali dalam hal solat adalah salah dan berdosa di dalam Islam. Ini kerana perbuatan tersebut mendatangkan fitnah kepada agama Islam. Perbuatan ini menurut sebahagian ulama disebut sebagai istihza’ atau mempermainkan. Firman Allah SWT:

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu mempersendakan dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.” (QS At – taubah: 65 -66).

Ingatlah, jangan hanya kerana mahukan ‘rating’ yang tinggi maka Islam dijadikan ‘marketing’. Islam itu pegangan dan bukan bahan mainan. Jangan jadikan diri kita target untuk memulakan sesebuah ‘parodi’ yang tidak bermanfaat kerana di situ kita sudah pun jatuh kepada kekufuran dan berdosa besar. Apatah lagi jika jika terlalu ramai yang ‘memparodikan’ adegan yang kita mulakan, berapa banyak dosa yang mahu ditanggung? Allah SWT memberi amaran kepada mereka yang mempersendakan agama dengan azab yang amat perit. Allah SWT berfirman:

“Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).” (QS Al-An’am: 70).

Renung – renungkanlah wahai kaum Muslimin. Wallahualam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments