Dunia akhir zaman ini semuanya memerlukan ‘viral’ untuk menjadi popular. Tidak kiralah sama ada ianya dari segi perkhidmatan atau perniagaan. Namun, ia bukanlah alasan untuk kita sebagai umat Islam menjadi taksub dan sanggup beratur serta berebut untuk mendapatkannya. Sebagai contoh, perniagaan makanan beberapa pempengaruh ataupun ‘influencer’ yang memerlukan kita beratur sehingga 6 hingga 12 jam semata – mata untuk membelinya hingga terlupa akan suruhan Allah SWT untuk bersolat. Selepas dapat membeli, kita merasa bangga. Adakah kita juga merasa bangga melanggar suruhan Allah SWT? Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada Hari Akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya baik maka dia akan berjaya dan menang, jika solatnya rosak maka dia akan rugi serta menyesal." (HR At – Tirmidzi).
Seperkara lagi, perniagaan yang menggunakan ‘pelaris badan’ sebagai umpan untuk menarik pelanggan. Apabila ianya ‘viral’, maka berduyun – duyunlah umat manusia memenuhi tapak perniagaan tersebut. Menurut dalam satu ceramah yang dikendalikan oleh pendakwah terkenal, ustaz Azhar Idrus, ianya haram dan berdosa. Tidak keterlaluan jika kita gelarkan “cintakan ‘viral’, cintakan kemegahan” dan ianya penyakit akhir zaman serta puncak kepada segala kejahatan.
Dalam zaman media sosial hari ini, kita tidak nafikan ramai yang sanggup menjadi pentaksub kepada sesetengah pempengaruh hanya kerana kebendaan yang dimilikinya. Ini membuatkan sesetengah pempengaruh itu merasa megah dan bangga serta sombong. Tambah buruk lagi, apabila ada sebahagian pengikut mereka sering memuji dan memuja, membela mereka dengan bersungguh – sungguh walaupun apa yang dilakukan oleh mereka itu nyata salah di sisi agama. Sesungguhnya dalam Islam sendiri tidak menggalakkan seseorang Muslim terlalu berlebih – lebih dalam memuji seseorang manusia. Sabda Rasulullah SAW:
“Celaka kamu, kamu telah memotong leher sahabatmu, kamu telah memotong leher sahabat kamu. Sekiranya salah seorang daripada kamu semua ingin memuji sahabatnya sekalipun, hendaklah dia mengucapkan “aku menyangka fulan sedemikian dan Allah SWT lah sebenar yang menghitungnya, dan aku sama sekali tidak memuji seseorang pun mengatasi Allah SWT.” (HR Muslim).
Berwaspadalah wahai umat Islam, jangan terlalu taksub dan fanatik akan hal – hal yang ‘viral’ hingga lupa tanggungjawab kita kepada Allah SWT. Tidak akan mati kebulur pun kita jika tidak dapat benda – benda yang ‘viral’. Akan tetapi, kita akan rugi di akhirat jika kita hilang kasih sayang Allah SWT hingga boleh mencampakkan kita ke lembah kehinaan dan seterusnya menjerumuskan kita ke dalam api neraka. Taksub sangat ditegah oleh Allah SWT. Marilah kita bermuhasabah dan sentiasa menetapkan hati kita kepada Allah SWT.
Sumber: Portal UstazUstazah.com (https://ustazustazah.com/taksub/)
Comments
Post a Comment