BERGURAU ADA BATASNYA - JAGA PERILAKU DAN TUTUR KATA AGAR TIDAK MENYAKITKAN HATI MANUSIA

 

“Kamu umur berapa? Kenapa nampak macam dah tua!”, “Kamu kerja apa? Gaji besar tak?”, “Kamu bila nak kahwin? Umur dah lanjut!”, “Kamu bila nak beranak? Dah bertahun kahwin!”. Artikel ini percaya bahawa setiap daripada kita pasti akan, sedang ataupun sudah melalui fasa pertanyaan seperti berikut. Tidak dinafikan kebanyakan daripada kita pasti merasa kecil hati dengan pertanyaan tersebut. Apabila ditanya mengapa mengajukan pertanyaan sebegitu, jawapannya mudah, bergurau.

Ada beberapa perkara yang perlu kita tahu tentang adab bergurau sesama manusia. Malah, Rasulullah SAW juga bergurau tetapi tidak sehingga menyakiti hati manusia lainnya. Ketahuilah, ada empat perkara yang sama sekali dilarang untuk bertanya kerana dikhuatiri akan menyebabkan orang berkecil hati. Yang pertama, mengenai umur. Hal ini juga ada disebut dalam kitab-kitab tasawuf untuk tidak bertanya kepada orang lain tentang umur. Kedua, jangan bertanya tentang pekerjaan dan pendapatan orang lain. Yang ketiga, soal jodoh. Ianya sangat sensitif bagi golongan yang masih belum mempunyai pasangan. Yang terakhir adalah tentang zuriat kerana bagi pasangan yang sudah lama menantikan anak, soalan ini akan membuatkan mereka sangat berkecil hati terutama sekali kepada pasangan yang sudah sekian lama menantikan kehadiran cahaya mata. 

Perlu diketahui dalam etika bergurau, ada perkara yang harus dijaga batasnya. Antara etika tersebut adalah:

1) Tidak melampau batas sehingga meninggalkan tanggungjawab dan kewajipan.

2) Tidak menjadikan maruah seseorang itu sebagai gurau senda. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain..” (QS Al – Hujurat: 11).

3) Tidak Menipu Dalam Lawak. Rasulullah SAW bersabda:

“Celakalah bagi orang yang bercakap suatu percakapan agar orang ramai tertawa dengan pembohongan. Celakalah baginya! Celakalah baginya!” (HR At – Tirmidzi).

4) Tidak mempermainkan syiar agama. Ini dapat dilihat daripada firman Allah SWT seperti berikut:

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.” (QS Al – An’am: 70).

Sikap berlawak jenaka adalah fitrah kehidupan manusia yang diciptakan sebagai masyarakat sosial. Islam tidak melarang aktiviti ini selama mana tujuannya adalah kebaikan yang diiktiraf syarak dan tidak melanggar etika-etika yang telah ditetapkan. Masalah yang berlaku pada hari ini adalah apabila wujudnya lawak jenaka yang tidak berkualiti, yakni yang memiliki pengajaran dan nilai-nilai baik. Begitu juga lawak yang mengenakan orang lain sehingga mengaibkannya, menfitnah, menipu, dilakukan tanpa keizinan dan mencemarkan maruah dirinya dan kenalannya, sehingga menyebabkan masalah tekanan dan kemurungan, sekalipun pelakunya menyebutnya sebagai gurauan.

Oleh yang demikian, berhati – hatilah dalam melakukan gurauan sesama manusia. Jangan sesekali bergurau melebihi batas yang ditetapkan oleh agama Islam sehingga melukakan hati manusia lainnya. Berguraulah secara murni dan bukannya dengan ‘gurauan kotor’ atau ‘gurauan lucah’ sehingga menyakitkan hati orang lain. Ini kerana sekiranya mereka yang menjadi bahan gurauan berkecil hati dan mengadukan ia kepada Allah SWT, maka berhati – hatilah, kita sedang dalam bahaya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments