ISU ‘SOJU HALAL’ KETIKA MELAKUKAN ‘FOOD REVIEW’ - TIDAK BOLEH MANAMAKAN SESUATU YANG HALAL DENGAN SESUATU YANG HARAM
Sudah menjadi tugas ataupun kerja seseorang pempengaruh atau lebih tepat disebut sebagai ‘influencer’ melakukan sesuatu ‘review’ tidak kiralah sama ada ianya berkaitan dengan produk ataupun makanan. Namun yang menjadi isu di sini adalah apabila mereka melakukan ‘review’ makanan, kadang - kadang kurangnya informasi mengenai status halal sesuatu tempat makan atau makanan itu sendiri.
Ini seperti yang terjadi kepada seorang ‘influencer’ di media sosial yang membuat ‘review’ tentang sebuah tempat makan yang berkonsepkan panggang ala korea ataupu ‘bbq’ di mana ‘influencer’ tersebut meminum salah satu minuman yang digambarkan sebagai ‘soju’ yang kononnya dalam versi halal. Untuk pengetahuan semua, soju atau nama lain adalah arak bakar ialah sejenis minuman keras jernih dan tersuling yang berasal dari Korea. Ia diperbuat daripada beras, gandum atau barli melalui proses penapaian dan seterusnya penyulingan.
Apa yang menjadi isu di sini adalah minuman itu hanyalah sekadar soda yang dicampur dengan minuman kultur dan bukanlah soju yang sebenar. Tindakan ‘influencer’ tersebut ternyata mengundang kecaman ramai pihak terutamanya para netizen yang mengambil maklum soal status halal dan haram dalam sesebuah makanan atau minuman. Apakah tindakan ‘influencer’ itu benar? Jawapannya tidak! Islam telah memberikan garis panduan di dalam soal pemakanan agar memudahkan umatnya dalam meneruskan kehidupan seharian. Kaedah umum yang disebutkan di dalam Al-Quran adalah sepertimana firman Allah SWT:
“Dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk” (QS Al – A’raf: 157).
Bahkan di dalam perkara 4.5 (g) Prosedur Pensijilan Halal Malaysia turut menyatakan: “Permohonan pensijilan halal ditolak sekiranya mengunakan perkataan atau nama yang sinonim dengan perkara yang haram seperti bak kut teh dan sebagainya.” Sesuatu yang haram tidak mungkin boleh dihalalkan kecuali terdapat nas yang menyebutkannya. Seperti dalam isu soju ini, ia kekal haram meskipun ‘dijenamakan’ dengan sesuatu yang halal. Ini kerana zatnya adalah sesuatu yang memabukkan dan bagi setiap yang memabukkan itu adalah haram.
Jadi, pesanan buat para ‘influencer’ yang ingin membuat ‘review’ tentang sesuatu makanan, selidikilah dahulu maklumat bahan yang digunakan dalam makanan atau minuman tersebut sebelum menghebahkan kepada penonton. Jangan kerana ingin mengejar ‘view’ dan ‘rating’ tinggi maka segala informasi yang tepat tidak dihebahkan demi kemaslahatan umat Islam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment