KIFARAH DOSA ITU ADALAH NYATA JANGAN SESEKALI MEMPERMAINKAN PERASAAN DAN MENYEBARKAN AIB MANUSIA


Hidup kita ini umpama roda yang sedang berputar, ada harinya kita berada di atas dan ada harinya kita akan berada di bawah. Walau apa pun cabarannya, hidup perlu diteruskan. Walau pada ketika ini hidup kita berada di atas, ia bukanlah lesen untuk kita menyakitkan hati seseorang melalui perbuatan dan perkataan kita. Sebagai contoh apa yang sering dipaparkan di platform media sosial pada ketika ini. Akibat merasa sakit hati akibat perbuatan seseorang yang mempermainkan perasaan kita, maka kita mengambil jalan mudah untuk menyebarkan aibnya di media sosial.

Mempermainkan perasaan orang dan juga membuka aib manusia adalah salah satu dosa yang nyata yang mungkin ada kifarahnya atas kehendak Allah SWT. Di zaman kecanggihan teknologi yang penuh dengan platform media sosial ini, dapat dilihat bahawa umat manusia akhir zaman ini berlumba -lumba untuk membuka aib sendiri dan orang lain selepas hati disakiti. Banyak sekali artikel ini perhatikan di setiap laman media sosial khususnya TikTok apabila pelbagai video membuka aib dimuatnaik oleh umat Islam lebih -lebih lagi setelah mereka kandas di dalam percintaan. Habis segala keburukan dicanang berbanding sewaktu mengecapi nikmat bahagia. 

Artikel pada kali ini ingin memberi sedikit teguran kepada golongan yang sedang menjalinkan hubungan ‘couple’, sudah terang lagi bersuluh bahawa ‘couple’ itu dinyatakan haram dalam agama. Manisnya cuma sekejap tetapi pahitnya itu ditanggung seumur hidup. Apabila sudah merasa bosan, maka ada hati yang akan dipermainkan. Maka bermulalah perang membuka aib. Perlu kita ketahui apakah balasannya sekiranya kita mempermainkan perasaan orang dan juga membuka aib manusia lainnya:

1) Solatnya tidak diterima oleh Allah SWT. 

2) Amalan baiknya tidak mendapat pahala.


3) Menanggung dosa dan fitnah. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah al – Ahzab, ayat 58 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”

4) Menjadi seorang yang rugi pada hari kiamat. Sabda Rasulullah SAW:

“Itulah orang yang rugi pada hari kiamat, iaitu orang yang rajin beribadah tetapi dia tidak memiliki akhlak yang baik. Dia merampas hak orang lain dan menyakiti mereka.” (HR Muslim).

5) Bakal mendapat balasan yang sama oleh Allah SWT.

Di pihak yang disakiti atau dipermainkan perasaannya, apabila sakit hati terlalu tinggi, maka dendam menguasai diri. Jalan yang mudah, memuatnaik aib agar pihak yang menyakiti mendapat malu. Perlu kita ketahui bahawa perbuatan itu juga adalah satu dosa kerana ia bukan sahaja mendedahkan aib orang lain malah aib sendiri juga turut terpalit. Ingat, Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang mendedahkan aib sendiri dan orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (HR At – Tirmidzi).

Ketahuilah wahai umat Islam, kifarah bagi sebuah dosa itu adalah nyata. Jadi, janganlah kita sesekali mempermainkan perasaan orang lain dan membuka aib manusia hanya untuk kepuasan diri. Kelak Allah SWT akan menurunkan bala kepada kita atas segala dosa yang kita lakukan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments