Bulan ini merupakan bulan di mana ramai anak muda mendaftar masuk belajar di semua institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia. Tidak terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Sudah pasti di setiap pusat pengajian akan ada sesi induksi ataupun dalam bahasa arab kita sebut sebagai ‘Taaruf’ dengan tujuan untuk mendedahkan kepada pelajar – pelajar baru tentang kehidupan di kawasan kampus dan sebagainya.
Namun, ada berberapa teguran kepada kumpulan pelajar -pelajar dan juga kumpulan fasilitator – fasilitator yang terlibat yang ingin artikel ini sampaikan. Tidak salah untuk menghiburkan diri semasa di dalam sesi tersebut dan benar ia hanyalah tujuan untuk bersuka – ria bagi menghilangkan rasa bosan pelajar – pelajar baharu semasa sesi induksi berlangsung. Akan tetapi, perlu diingatkan akan batas pergaulan dan perilaku semasa program tersebut dilaksanakan. Bukankah kita sudah diingatkan dengan adab – adab semasa menuntut ilmu? Mengapa perlu ada perkara – perkara yang lagha seperti alunan muzik yang kuat dan juga tarian lambak di kalangan pelajar – pelajar baharu?
Perlu diingatkan, tujuan kita untuk masuk ke alam universiti itu adalah untuk menuntut ilmu dan menjadi orang yang berbakti dan bermanfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara. Antara adab dalam menuntut ilmu adalah tidak sambil lewa dan menjauhkan diri daripada maksiat serta mengurangkan kata – kata dan aktiviti yang tidak bermanfaat. Islam menuntut agar umatnya bersungguh-sungguh menuntut ilmu pengetahuan supaya semakin bertambah ilmu, maka semakin dekatlah diri kita dengan Allah SWT. Ilmu itu merupakan cahaya untuk kita lebih merasai keesaan Allah SWT, serta kekuasaan dan keagongan-Nya. Dengan ini akan bertambahlah ketakutan (ketaqwaan) kepada Allah SWT.
Oleh itu, fahamilah akan keperluan dan adab menuntut ilmu. Tidak salah untuk menghiburkan diri dan orang lain tetapi jangan melebihi batas yang telah ditetapkan agama. Ada banyak cara untuk berhibur dan menyediakan hiburan kepada orang lain. Berilah contoh yang baik agar kita dihormati sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai visi dan misi dalam menuntut ilmu. Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang menempuh perjalanan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan perjalanannya menuju syurga. Malaikat akan menaungi penuntut ilmu dengan sayapnya kerana reda terhadap perkara yang dia lakukan.” (HR Abu Daud).
Sumber: Portal Dakwah dan Tarbiah (https://dakwahdantarbiah.com/kepentingan-ilmu-dalam-islam)
Comments
Post a Comment