Pada asasnya seseorang beragama Islam yang mengamalkan tarekat tertentu adalah tidak salah dan dikatakan adalah lebih baik bagi mendekatkan diri kepada Allah. Syaratnya, seseorang yang mengamalkan perlulah mempunyai pengetahuan yang mendalam terutamanya dalam ilmu tasawuf supaya pengamalannya tidak memesongkan akidah dan tidak menimbulkan kekeliruan.
Apabila tularnya sebuah video yang memperlihatkan jemaahnya dikatakan sedang berzikir sambil menggoyang-goyangkan badan ke depan ke belakang ke kiri dan ke kanan beserta bacaan zikir yang kuat, ianya telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan reaksi yang pelbagai dalam kalangan masyarakat awam Sebahagian besarnya menolak dan mengatakan tarekat tersebut adalah sesat, malah ada juga sebahagian kecilnya yang menyokong.
Golongan yang menyokong kebenaran tarekat ini telah menjustifikasikan perbuatan tersebut berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdul Hay al-Kataniy dalam buku ‘al-Tartib al-Idariah’, maksudnya: Sahabat Rasulullah SAW ketika zikrullah bergoyang-goyang ke kanan dan ke kiri seperti mana pokok bergoyang ditiup angin kencang ke hadapan dan kemudian ke belakang”. Sedangkan hadis tersebut adalah ‘majhul’ iaitu tidak diketahui kedudukan perawinya sehingga melayakkan hadis ini dipertikaikan dan tidak boleh diangkat sebagai hujah.
Allah SWT berfiman dalam Surah al-A’raf ayat 205, maksudnya:
“Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahNya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai”.
Firman Allah ini telah dikuatkan lagi oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa beginilah zikir sewajarnya dilakukan (dengan tidak menyaringkan suara), bukan dengan cara memanggil, dengan suara kuat mahupun keras. Dalam hadis lain, para Sahabat juga telah berzikir dengan kuat pada suatu ketika Perang Khaybar dan perbuatan tersebut telah ditegur oleh Rasulullah SAW dengan menyatakan ‘..sesungguhnya kamu tidak menyeru yang tuli mahupun yang ghaib, sesungguhnya kamu menyeru Yang Maha Mendengar lagi Dekat, dan Dia bersama kamu sekalian”.
Ia menyimpulkan bahawa perbuatan zikir ala ‘black metal’ oleh sebuah tarekat tersebut yang menyandarkan perbuatannya kepada hadis yang tidak ketahuan perawinya adalah tidak wajar dicontohi kerana ternyata ianya adalah terpesong dari agama Islam yang sebenar. Jika dibiarkan, pasti orang jahil akan lebih melampau-lampau sehingga amukan ‘black metal’ tidak lagi dapat dibezakan dengan zikir memuja-muji Allah SWT. Jauhilah.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – NOV 2023, Pendakwah Syihabudin Ahmad dan Buku Ajaran Salah dalam Tarekat – Brands Santai Ilmu Publication
Comments
Post a Comment