Akhir zaman ini, budaya ghibah (mengumpat) dan fitnah seakan sudah menjadi darah daging di kalangan manusia tidak kira sama ada lelaki ataupun wanita. Umat manusia pada hari ini menganggap kedua – dua dosa itu adalah perkara yang biasa dan tidak menjejaskan mereka. Walhal mereka tidak tahu bahawa mereka sedang berada di dalam kemurkaan Allah SWT. Terdapat banyak persengketaan yang wujud hanya kerana lisan yang tidak terjaga. Malah, orang yang sentiasa berbicara tanpa berfikir terlebih dahulu diibaratkan seperti tin kosong yang berbunyi tetapi tiada berguna dan bermanfaat.
Sewajarnya, bagi orang yang beriman menggunakan lidah yang dikurniakan Allah SWT untuk menyampaikan mesej dan info yang bermanfaat dan berusaha tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sabda Rasulullah SAW:
"Antara kebaikan keislaman seseorang, dia meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengannya." (HR At – Tirmidzi).
Pada zaman mutakhir ini, budaya ghibah dan fitnah dilihat berleluasa dalam masyarakat sehingga kadangkala sukar untuk membezakan antara pihak yang benar dan yang salah. Situasi tersebut bertambah parah dengan kemunculan platform media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram, TikTok dan pelbagai lagi yang membuka lebih banyak ruang kepada penyebaran fitnah. Ia boleh berlaku apabila seseorang mereka-reka sesuatu berita dan menyebarkannya dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah pihak lain. Fitnah juga boleh terjadi apabila kita menerima berita tentang sesuatu perkara tanpa memastikan kesahihannya kemudian menyebarkannya sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan ataupun tidak.
Islam telah mengingatkan kita supaya menjauhi fitnah, menghina orang lain dan mengadu domba. Sebarang perkhabaran yang tidak benar tentang seseorang atau sesuatu perkara pasti mengundang permusuhan dan perselisihan. Justeru umat Islam mesti berhati-hati ketika menerima berita dengan cara meneliti dan mendapatkan bukti mengenai sesuatu tuduhan berkaitan peribadi seseorang. Jika tidak ada perkara yang baik perlu dibicarakan, sebaiknya berdiam dirilah sebagaimana hadis Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata baik atau diam..." (HR Bukhari dan Muslim).
Berhati – hatilah dalam berkata – kata. Jangan kerana mulut, badan yang binasa. Jangan kerana sebuah kata – kata, umat Islam rosak keimanannya. Setiap warga masyarakat mesti menginsafi tanggungjawab masing-masing dalam memastikan sumber berita yang sahih, tidak menyebarkan berita yang membuka keaiban mana-mana pihak sebaliknya menjadi agen dalam menyebarkan berita yang memberikan suluhan dan pencerahan kepada ummah, menyubur keharmonian bukannya mencetuskan kekeliruan dan memecahbelahkan. Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (QS Al – Hujurat: 6).
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Comments
Post a Comment