HENTIKAN BUDAYA 'PICKUP LINE' ISLAM MENGAJAR KITA UNTUK LEBIH MENGHORMATI DAN MELINDUNGI KEHORMATAN WANITA
Budaya pickup line pada hari ini seakan sudah sinonim dengan hidup masyarakat kita. Namun apa yang kita tidak ketahui, budaya ini sebenarnya menjatuhkan sifat malu seorang wanita khususnya golongan Muslimah. Kemuliaan wanita terletak pada kesungguhan dia menjaga kehormatan dan maruah dirinya. Ia seperti mana Allah SWT menampilkan contoh yang terbaik dalam al – Quran tentang kisah anak gadis Madyan. Allah SWT menggambarkan bagaimana Nabi Musa A.S bertemu dengan dua orang gadis tersebut yang berusaha untuk mendapatkan air buat ternakan mereka namun terpaksa mengasingkan diri dari bersesak dan percampuran yang terbuka sehingga keadaan tersebut disedari oleh Nabi Musa A.S.
Apabila ditanya, lalu kedua gadis itu menjawab seperti yang dinukilkan di dalam al – Quran, dalam surah al – Qasas, ayat 23 yang bermaksud:
“Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya ".
Hal ini disambung dengan firman Allah SWT:
“Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu..” (QS Al - Qasas: 25).
Begitu ringkas Allah SWT membayangkan sifat wanita yang baik serta berakhlak tinggi. Lantas, mengapa kita perlu menjatuhkan maruah mereka dengan pickup line yang boleh diibaratkan mengheret mereka ke lembah maksiat? Bukankah dalam Islam kita dituntut untuk menjaga dan memelihara kehormatan wanita? Islam membawa satu perubahan besar dan sangat signifikan terhadap status wanita. Sebelum kedatangan Islam, wanita dipandang hina. Dalam surah Ali-Imran, ayat 195, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal daripada kalangan kamu sama ada lelaki atau perempuan (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) daripada setengahnya yang lain.”
Berdasarkan ayat al-Quran di atas, jelas menunjukkan Islam memartabatkan wanita dan tidak membezakan mereka dengan lelaki. Justeru, marilah bersama-sama kita menginsafi segala bentuk pembelaan yang telah diberikan dan dijamin oleh Islam dalam mengangkat darjat wanita serta memelihara mereka dari sebarang penganiayaan dan diskriminasi selaras dengan panduan syariat Islam.
Sumber: Tinta Minda, Bernama (https://bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=1938844)
Comments
Post a Comment