JANGAN BERPUTUS ASA UNTUK BERTAUBAT KEPADA ALLAH SWT


Pernah atau tidak dalam satu hari kita terfikir untuk bertaubat dengan Allah SWT dengan taubat sesungguh – sungguhnya? Jika ya, alhamdulillah maka rahmat dan kasih sayang Allah SWT masih ada buat kita. Islam adalah manhaj kehidupan yang terang, jelas dan terbaik. Manhaj ini sudah   cukup untuk membimbing manusia mencapai tahap   yang tinggi   dan melayakkannya menjadi khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Ramai manusia yang tersesat, melakukan maksiat dan terseleweng daripada jalan yang terang dan jelas, sama ada disebabkan kejahilan, terpengaruh dengan suasana, tunduk kepada hawa nafsu atau terpesona dengan seruan yang sia-sia. 

Namun, Islam sentiasa menyeru manusia berpegang kepada kebenarannya serta berpaut dengan talinya agar tidak tersesat di perjalanan dan tidak tersilap di dalam matlamat. Firman Allah SWT:

“Maka berpegang teguhlah kamu kepada agama yang telah diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya al-Quran itu benar-benar satu kemuliaan besar bagimu   dan   bagi   kaummu dan   kelak   kamu   akan   diminta pertanggungjawabkan.” (QS Az-Zukhruf: 43-44).

Dalam mengharungi ujian hidup ini, janganlah kita berkata kepada diri sendiri bahawa kita bukanlah dijadikan sepertimana malaikat yang suci lagi bersih serta bukan juga seorang manusia yang ma’sum (terpelihara). Katakanlah kepada diri kita sendiri bahawa diri ini hanya seorang manusia yang sentiasa berperang di antara kebaikan dan kejahatan. Kita hendaklah memperbetulkan kesilapan sendiri apabila tersilap dan   merawat   kesakitan kita apabila   terjatuh   sakit. Kita hendaklah membersihkan jiwa daripada karat-karat jahiliah yang terlekat di jiwa dengan cara bertaubat dan hendaklah memulakan hidup yang baru. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah SWT membuka (TanganNya) di waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan kesilapan   di siang hari dan membuka (TanganNya) di waktu siang untuk menerima taubat   orang yang membuat kesilapan di waktu   malam sehinggalah tiba hari akhirat.” (HR Muslim).

Oleh itu, janganlah kita sesekali putus asa dengan bertaubat kepada Allah SWT. Teruskanlah melakukan taubat kepada Allah SWT Jangan bertangguh-tangguh untuk bertaubat. Allah SWT sanggup ampunkan kerana Dia amat belas kasihan kepada semua makhluk. Dia sayang sekali kepada hambaNya. Kepada kita semua. Ini kerana sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Firman Allah SWT: 

“Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS Az – Zumar: 53).

Sumber: Laman Web Dakwah dan Tarbiah


 

Comments