AMANAH DALAM MELAKUKAN TUGAS KERANA IA MERUPAKAN SEBAHAGIAN DARIPADA TAHAP KEIMANAN


Berdasarkan Kamus Dewan (1996) amanah adalah sesuatu yang dipercayakan kepada orang sebagai contoh diserahkan sesuatu untuk disimpan. Amanah adalah satu tanggungjawab yang diberikan sebagai satu prinsip untuk tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan pengaruh dan kuasa yang sedia ada.

Namun, keadaan sudah berubah pada hari ini apabila kebanyakan daripada kalangan manusia menggunakan amanah yang diberi untuk tujuan peribadi dan kepentingan diri. Sudahlah amanah tidak dilaksanakan, mengkhianat pula. Ini suatu sikap yang sama sekali tidak diterima dalam Islam. Antara sifat mendapat kedudukan tinggi dalam akhlak Islam ialah amanah. Islam amat menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat amanah. Paling menarik, sifat ini dianggap titik penentu atau garis pemisah tahap keimanan dan keagamaan seseorang insan. Dalam hal ini, Rasulullah SAW menegaskan: 

"Tiada iman bagi orang tidak memegang amanahnya dan tiada agama bagi orang tidak dapat dipegang janjinya." (HR Ahmad dan Dailami).

Orang beramanah jelas di sebut sebagai seorang mukmin dan ia adalah sifat khusus yang hanya ada dalam diri seorang yang beriman. Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa yang pada dirinya ada empat hal, maka ia adalah seorang munafik tulen, namun jika hanya ada sebahagian, maka pada dirinya ada sebahagian sifat munafik hingga ia meninggalkannya. Jika berbicara berdusta, jika berjanji mengingkari, jika diberi amanah khianat dan jika berselisih berlaku curang." (HR Abu Daud).

Oleh itu, cara terbaik untuk memupuk nilai amanah dalam diri pekerja ialah dengan memanfaatkan semua bentuk ibadah yang difardukan ke atas kita. Bahkan Muslim yang diberi amanah dalam melakukan tugas itu sebenarnya amat beruntung kerana memiliki peluang yang amat banyak untuk memupuk nilai amanah.  Ini kerana sejak kecil lagi, kita telah diberikan pendidikan keimanan (rukun iman) dan bimbingan untuk beribadah (rukun Islam).

Pemupukan nilai amanah dalam diri pekerja seharusnya bermula dengan diri sendiri.  Jika ini berlaku barulah amanah terhadap orang lain terutama dalam organisasi akan dapat dilaksanakan dengan sempurna.  Ini bertepatan dengan apa yang diungkap oleh cendekiawan, “Seseorang yang tidak memiliki sesuatu (amanah), tidak akan dapat memberikan apa pun (amanah).”

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


 

Comments