HENTIKAN BUDAYA SAMBUTAN HARI LAHIR DI PERKUBURAN: KEMATIAN ITU SEWAJARNYA UNTUK PENGAJARAN, BUKAN UNTUK DIRAIKAN



Menyambut hari lahir sudah menjadi kebiasaan buat semua umat manusia di dunia ini. Namun apa yang menjadi hal yang tidak biasa adalah menyambutnya di perkuburan. Sering kita lihat di media sosial ada segelintir daripada kita memuatnaik video sambutan hari lahir di perkuburan kononnya untuk menggambarkan kerinduan dan kesedihan. 

Namun, ini sangat bertentangan dengan apa yang dianjurkan dalam Islam. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbuatan tersebut sewajarnya digantikan dengan doa dan sedekah kepada si mati seperti yang dianjurkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia bero-
leh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.” (HR Muslim).

Perbuatan tersebut adalah lebih baik jika diganti dengan menjamu makan kepada anak-anak yatim dan juga memberi makan kepada fakir miskin kerana manfaatnya jauh lebih besar buat dirinya, di samping memohon keampunan buat kita. Tujuan menziarahi kubur adalah bagi mengingatkan umat Islam kepada kematian dan hari akhirat, bukannya menyentuh perihal berkenaan kehidupan semata-mata. 

Dengan sebab itu, mengimbau kepada sunnah dan sirah Nabi SAW, Rasulullah SAW sentiasa ziarah kubur untuk memberi syafaat kepada ahli kubur dengan doa atau mengambil faedah untuk mengingati kematian dan muhasabah diri.

Justeru, seeloknya lakukanlah apa yang terbaik yang dianjurkan oleh Islam. Jangan dek kerana terbawa perasaan rindu yang mendalam kepada yang telah tiada, kita 'mengada - adakan' amalan yang tidak diamalkan agama. Berdoalah ke atas kesejahteraan para almarhum dan almarhumah yang telah pergi meninggalkan kita.  

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Comments