Islam menetapkan tujuan pokok kehadirannya untuk memelihara agama, jiwa, akal, kesihatan dan harta benda umat manusia. Manusia yang sihat ialah manusia yang sejahtera serta seimbang jasmani dan rohaninya dan sentiasa aktif. Dengan kesihatan, manusia dapat meningkatkan kualiti hidupnya semaksimum yang mungkin dan dapat meningkatkan pengabdiannya kepada Allah SWT serta sesama manusia.
Tingginya kedudukan urusan menjaga kesihatan itu dapat dilihat melalui penyenaraian keutamaan yang meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat kedua selepas keyakinan(iman). Sabda Rasulullah SAW:
"Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik daripada kesihatan selepas keyakinan(iman)." (HR Ibnu Majah).
Cuba kita renungkan, apakah natijahnya apabila tubuh badan sudah tidak sihat dan cergas? Mampukah amal ibadat dapat dilakukan dengan sempurna? Bolehkah satu-satu pekerjaan untuk urusan kehidupan duniawi dapat dilangsungkan dengan sebaik-baiknya? Sudah tentu tidak. Maka jelas lah di sini bahawa kesihatan adalah 'harta tidak ternilai' harganya yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Menjaga kesihatan juga dikira amal soleh kerana Allah SWT dan Rasulullah SAW mengajar umatnya agak memberikan hak kepada tubuh badan mereka. Barang siapa menjaga badan daripada penyakit, maka ia mendapat balasan pahala daripada Allah SWT kerana telah memberikan hak badannya kepada diri mereka sendiri.
Secara asasnya, menjaga kesihatan adalah tanggungjawab manusia atas amanah Allah SWT ke atas diri mereka. Tubuh badan dan anggota serta kesihatan yang diberikan oleh Allah adalah wajib dijaga, dipelihara dan dilarang dari sakiti ke atasnya. Oleh sebab itu, apa sahaja tindakan menzalimi, menganiayai dan memudaratkan adalah diharamkan di dalam Islam. Malah, tubuh yang dimiliki oleh manusia ini pun hakikatnya adalah ‘pinjaman’ kurniaan dari Allah SWT. Sampai masa ia akan kembali kepada Allah SWT pada waktu yang telah ditetapkan olehNya.
Orang yang inginkan kehidupan yang baik termasuk kesihatan, jiwa, spiritual, mental dan sebagainya, apapun syaratnya mesti kembali kepada Allah SWT, beriman kepadaNya dengan tauhid yang benar serta beramal soleh.
Sumber: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Comments
Post a Comment