BULAN RAMADAN ADALAH BULAN KEINSAFAN: HENTIKAN NORMALISASI BERBUAT DOSA TANPA HENTI SEBALIKNYA PERBAIKI DIRI

 

Sudah menjadi fitrah manusia yang tidak sempurna, kita sering melakukan kesilapan berulang kali. Ini kerana kita sering lalai dan alpa dengan urusan dunia sehingga lupa untuk mengabdikan diri kepada Sang Maha Pencipta, Allah SWT. Namun, kelemahan diri bukanlah sesuatu yang boleh kita jadikan alasan untuk kita sering melakukan dosa berulang – ulang tanpa ada sikit pun penyesalan kepada Allah SWT.

Kedatangan Ramadan membawa rahmat dan maghfirah (keampunan) yang tidak terhingga. Sebagai manusia yang beriman kepada Allah SWT dengan keimanan Islam yang mantap akan terus tawaduk dan bertakwa kepada Allah SWT. Oleh itu, dengan ibadah puasa hadapilah apa juga cabaran dan ujian dalam hidup pada masa kini dan juga akan datang. Firman Allah SWT:

"Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (QS al-Ankabut: 69).

Ramadan sewajarnya menjadi pemangkin untuk seseorang melaksanakan islah (memperbaiki ke arah kebaikan) dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ibadah, akhlak dan hubungan sesama manusia. Tuntutan terpenting dalam agenda islah adalah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan perkara yang makruf dan menjauhi segala bentuk kemungkaran. Justeru islah memerlukan pengorbanan yang besar kerana berlawanan dengan kecenderungan hawa nafsu dan tabiat yang selesa dengan perbuatan dosa. 

Bersempena dengan bulan Ramadan yang hanya berbaki kurang daripada dua minggu ini, hentikanlah segala normalisasi perbuatan berdosa sebaliknya perbaiki diri ke arah yang lebih baik dengan cara bertaubat kepada Allah SWT. Ambillah ibrah dari kejadian – kejadian umat terdahulu dan gandakan amal ibadah kita kepada satu tahap yang tertinggi dan berharap Allah SWT mengampunkan segala dosa – dosa kita, In Shaa Allah.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)


Comments