JANGAN MEMBAZIR DI BULAN MULIA SEBALIKNYA PUPUKLAH AMALAN BERJIMAT CERMAT DAN MENABUNG

 

Dengan keadaan ekonomi negara yang terumbang ambing, ditambah pula dengan kenaikan harga barang bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia, rakyat kini berhadapan dengan kesukaran apatah lagi kita kini dalam sambutan bulan Ramadan. Sudah pasti ramai di antara kita yang memilih untuk berjimat cermat. Tidak kurang juga ada yang memilih untuk berbelanja di bazar Ramadan kerana faktor masa dan tuntutan kerja.

Walau bagaimanapun pilihan cara kita berbelanja, ini bukanlah alasan untuk kita melakukan pembaziran. Bulan Ramadan adalah bulan yang diberkati dan mempunyai roh dan semangat yang mampu menjadikan umat Islam menginsafi diri secara lebih bermakna. Matlamat untuk mencapai ketakwaan diri mempunyai hubungan yang signifikan dengan kedatangan Ramadan bagi mengukuhkan sikap berhemah di dalam perbelanjaan dan mengelak pembaziran. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya." (QS al – Isra: 27).

Agama Islam amat melarang kita sebagai umatnya mengamalkan pembaziran. Pembaziran juga sering berlaku disebabkan oleh sikap tidak mempedulikan hal orang lain serta memandang rendah tentang keperluan orang lain. Maka hal itu sama seperti syaitan. Justeru fahamlah kita, mengapa Allah jadikan pembazir itu saudara syaitan, kerana syaitan itu memulakan pendurhakaannya kepada Allah SWT atas kesombongan dan bongkak, serta memandang rendah kepada orang lain.

Sebagai seorang Muslim yang benar-benar menghayati semangat Ramadan sewajarnya menginsafi masih ramai masyarakat di luar sana yang masih hidup serba kekurangan dan menghadapi kesulitan mendapatkan makanan untuk berbuka puasa. Muslim yang terdidik dengan iman dan ilmu pasti memahami keperluan untuk berbelanja secara berhemah bagi mengelak pembaziran adalah satu usaha permulaan bagi menyedarkan diri bahawa keperluan berhemah dan menabung sangat diutamakan dan ia mampu menjadikan seseorang itu bebas daripada pembaziran. 

Ayuh umat Islam menyemai sikap berhemah dan adil terhadap diri dengan memastikan setiap wang ringgit bijak digunakan pada kadar yang sesuai. Manfaat berhemah dan bijak menabung pasti memberikan kelegaan buat insan yang sentiasa peka terhadap keperluan semasa. Ini kerana keperluan untuk berhemah dan menabung sangat dituntut bagi memastikan kelestarian kewangan dan pendapatan sentiasa memberikan pulangan yang lebih memberangsangkan pada masa hadapan. Al-Mughirah bin Syu’bah r.a meriwayatkan bahawa:

“Adalah (baginda Rasulullah SAW) melarang (kamu dari melakukan tiga perkara), iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta.” (HR Bukhari).

Sumber: Jabatan Mufti Perlis


Comments