TRAGEDI HELIKOPTER TLDM ADALAH SYAHID AKHIRAT BUAT PARA PARAJURIT TERKORBAN - KETAHUI SYAHID YANG DIANGGAP DALAM ISLAM
Tragedi perlanggaran dua buah helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu AS 555 SN (Fennec) dan AW 139 (HOM) di Kem TLDM Lumut, Perak merupakan detik hitam buat negara. Tragedi yang berlaku semasa raptai lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei depan telah mengorbankan 10 nyawa para perajurit tanah air.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, kematian perajurit yang beragama Islam di dalam insiden itu dianggap sebagai syahid kerana terkorban ketika sedang berkhidmat untuk negara. Ini kerana syahid yang diperoleh mereka dikategorikan sebagai syahid akhirat, yang merupakan salah satu daripada tiga kategori syahid dalam Islam. Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas,orang yang ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” (HR Bukhari dan Muslim).
Di dalam Islam, terdapat tiga kategori syahid yang dianggap dalam Islam:
1) Syahid dunia dan akhirat. Ia merujuk kepada orang – orang yang beriman dan ikhlas berjuang di jalan Allah SWT untuk meninggikan syiar agama dan mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata serta mati di medan peperangan. Mereka tidak lagi berada dalam keadaan hayah mustaqirrah (masih hidup) sebelum berakhirnya peperangan dengan golongan musyrikin. Dia dianggap syahid akhirat kerana di sisi Allah SWT mereka mendapat pahala syahid dan dianggap sebagai syahid dunia kerana mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan. Bahkan mereka ditanam secara terus bersama dengan darah dan pakaian mereka.
2) Syahid dunia. Ia merujuk kepada golongan yang meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah tetapi dalam masa yang sama melakukan mawani’ al-syahadah (perkara yang menghalang daripada mendapatkan syahid) seperti berjuang di jalan Allah SWT kerana inginkan ghanimah (harta rampasan) semata-mata, atau berjuang untuk dikatakan berani, atau untuk mendapatkan kedudukan di sisi manusia atau seumpamanya (dengan tujuan keduniaan), maka dia dianggap syahid dunia iaitu tidak disolatkan, dikafakankan dan dimandikan. Sementara itu dia tidak dianggap sebagai syahid akhirat iaitu tidak mendapat pahala syahid yang sempurna dan urusannya di akhirat adalah antara dia dengan Allah SWT.
3) Syahid akhirat. Ia merujuk kepada sesiapa yang syahid bukan di medan peperangan akan tetapi disebutkan dalam hadis dengan istilah syahid. Contohnya seperti orang yang meninggal dunia kerana penyakit perut, taun, ditimpa runtuhan bangunan dan lain-lain sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis sebagai syahid. Mereka dikurniakan dengan pahala dan ganjaran sebagai orang yang syahid di akhirat tetapi ganjarannya tidak sama dengan golongan yang pertama (syahid dunia dan akhirat). Adapun hukumnya di dunia adalah sama seperti kebiasaan orang yang meninggal dunia iaitu wajib dimandikan, dikafankan dan disolatkan.
Kesimpulannya, syahid yang dimiliki oleh kesepuluh para anggota dan pegawai TLDM yang terlibat dalam insiden nahas tersebut merupakan syahid akhirat dan ganjaran pahalanya juga tinggi kerana dianggap berjuang untuk negara. Kematian para pewira kita diibarat satu kehilangan yang sangat besar buat negara. Semoga roh mereka di sisi Allah SWT dan ditempatkan bersama golongan yang beriman, Al – Fatihah (dibaca).
Firman Allah SWT:
“Dan barangsiapa berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka akan kami berikan pahala yang besar kepadanya.” (QS An – Nisa: 74).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment