ISU LAMAN SESAWANG “SWINGTHAT” - CEGAH SEBELUM BERTAMBAH PARAH!



Walaupun isu ini masih lagi belum tular, namun kita sebagai umat Islam haruslah mengambil langkah pencegahan awal agar ia tidak terus berlarutan dalam kalangan masyarakat kita khususnya golongan Muslim. Terkini, salah satu laman sesawang yang sedang diperkatakan mengundang keresahan rakyat Malaysia iaitu “swingthat”. Satu aplikasi yang membolehkan lelaki dan wanita saling bertukar pasangan untuk melakukan hubungan terlarang.


Perkara ini amat merbahaya kerana dikhabarkan aplikasi ini sedang merebak di kalangan rakyat Malaysia pula. Sedangkan kita tahu majoriti penduduk negara ini adalah beragama Islam, perkara ini tidak harus dibiarkan dan harus dipantau oleh pihak berkuasa. Sudah banyak gejala ‘swinger’ berlaku di negara ini dan boleh dikatakan rakyat Malaysia terutamanya golongan Islam sedang mengalami keruntuhan akhlak yang sangat serius. Ini ditambah lagi dengan kewujudan pelbagai aplikasi seperti itu menambahkan lagi ‘barah’ keruntuhan akhlak.


Gejala yang dimulakan oleh orang Barat sedang meresap ke dalam diri masyarakat Timur ini wajar dibendung dengan tegas dan secepat mungkin. Gejala ‘swinger’ di kalangan masyarakat kita semakin membimbangkan walaupun beberapa siri tangkapan telah dilakukan tetapi ia tetap tidak berhenti. Perkara ini harus dibendung daripada membiak dan merosakkan lagi banyak akhlak terutamanya anak – anak muda di negara ini.


Pihak berkuasa dan juga jabatan – jabatan agama Islam Negeri atau Persekutuan wajib melakukan pemantauan setiap masa di semua platform media sosial agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Orang ramai juga diminta untuk melaporkan sebarang kegiatan tidak sihat ini sekiranya terdapat sebarang iklan di platform media sosial anda. 


Ingatlah, amar makruf nahi mungkar itu adalah tanggungjawab kita bersama. Sabda Rasulullah SAW:


“Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.” (HR Bukhari).


Sumber: Laman Web Dr. Zulkifli Al – Bakri

Comments