ATEISME PEMIKIRAN BERASASKAN IDEOLOGI HUMANISME DAN SEKULARISME BARAT MEMISAHKAN MANUSIA DARI AGAMA DAN TUHAN

 

Tatkala membicarakan berkenaan ateisme, ia adalah sebuah aliran pemikiran yang mempertikaikan sejauh mana seseorang itu harus mempercayai keberadaan tuhan untuk dianggap sebagai seorang ateis. Ini bermakna ateis muncul daripada individu dan kelompok tertentu yang tidak bersedia untuk mengikuti agama-agama yang telah ada dengan alasan yang pelbagai dan subjektif. Oleh itu, terdapat juga yang menggelarkan ateis sebagai orang yang mencari tuhan. 

Dari sudut sejarah, ateisme sememangnya berpegang kepada ideologi humanisme dan sekularisme. Humanisme diperkenalkan untuk menafikan kewujudan dan kekuasan tuhan serta akhirnya ia akan memisahkan manusia daripada agama. Sekularisme juga diguna pakai dengan memisahkan urusan agama dan ketuhanan dalam kehidupan seharian. Di dalam agama, sekular menggunakan prinsip moral yang liberal bagi memudahkan manusia untuk mencapai matlamat hidupnya. Sekularisme sering menggunakan prinsip rasional sahaja yang hanya ditanggapi oleh intelektual manusia. 

Berasaskan perkara tersebut, dapat disimpulkan bahawa gejala ateisme yang mendokong kebebasan tidak beragama dan tidak percaya kepada tuhan secara langsung dan tidak langsung sudah pastinya dibayangi oleh sekularisme dan liberalisme. Jelas ideologi berasaskan barat ini tidak memberikan sebarang tambah nilai kepada umat Islam malah lebih memesongkan akidah dari ajaran Islam yang sebenar. Persoalannya, mengapakah semakin ramai Melayu-Islam terpengaruh dengan ateisme? Adakah kerana terikut-ikut dengan trend dan terpengaruh dengan ideologi barat yang kononnya dianggap boleh memajukan diri apabila tidak mengabdikan diri pada tuhan? 

Sumber: Jurnal al-Hikmah, vol. 15(1)


Comments