Baru – baru ini tular sebuah video berkenaan sekumpulan anak gadis dari negara seberang yang makan di sebuah restoren makanan segera terkenal sambil menunjukkan makanan dan berkata “lagi makan daging anak P4l3st!n@” dan “ini darah anak P4l3st!n@” sambil menunjukkan makanan yang dicicah dengan sos seolah – olah menggambarkan itu adalah darah daging anak P4l3st!n.
Perbuatan itu mengundang kecaman warga maya kerana kumpulan anak gadis berkenaan dikatakan tidak sensitif dengan isu semasa dan dengan sengaja membuat provokasi di media sosial untuk meraih perhatian awam. Walaupun mereka sudah membuat permohonan maaf secara terbuka, namun perbuatan itu tetap sukar untuk dilupakan.
Di kala saudara seagama kita sedang berjuang bermati – matian untuk mempertahankan tanah air, kita di sini dengan senang – lenangnya membuat provokasi atas tujuan untuk meraih perhatian perhatian dan ‘like’ serta view yang tinggi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sebenarnya dengan provokasi sebegitu, menandakan hati kita telah mati, nauzubillahiminzalik!
Dalam hal ini, tidak salah sekiranya kita hendak makan di mana – mana restoren makanan segera terbabit kerana pilihan di tangan kita. Akan tetapi, perlukah kita melakukan tindakan provokasi sedemikian rupa? Hingga mengguris hati saudara Islam kita di sana? Provokasi adalah sifat dan amalan yang didalangi oleh syaitan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 48 yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: 'Pada hari ini tidak ada sesiapa pun daripada umat manusia yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku adalah pelindung serta penolong kamu.' Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: 'Aku berlepas diri daripada kamu kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangat berat azab seksa-Nya.'"
Oleh itu menjadi tanggungjawab bagi umat manusia untuk memelihara kemuliaan itu dengan melindungi keselamatan dirinya serta orang lain pada setiap masa. Umat Islam hakikatnya bertanggungjawab untuk menyebarkan mesej kedamaian dan keharmonian Islam kepada seluruh dunia. Islam mengajar umat manusia supaya tidak membalas setiap cercaan yang dihamburkan sebaliknya tindakan membalas serangan musuh di medan perang hanyalah bagi mempertahankan diri. Kita sering diingatkan agar tidak mudah melatah terhadap cacian dan kejian sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Abu Zar RA yang bermaksud:
"Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu." (HR Bukhari).
Perbuatan provokasi adalah bertentangan dengan prinsip ajaran Islam yang menitikberatkan nilai kasih sayang dan sifat mengambil berat terhadap manusia sama ada sesama Islam mahupun dengan bukan Islam. Justeru sebarang tindakan berbentuk keganasan termasuk yang dilakukan oleh umat Islam sendiri bukanlah mencerminkan ajaran Islam yang sebenar kerana Islam menentang segala bentuk penindasan dan kezaliman.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Comments
Post a Comment