Apabila tibanya jemputan daripada Allah SWT sebagai tetamuNya untuk mengerjakan ibadah haji, maka di saat itu kita sudah perlu memfokuskan diri untuk melakukan ibadah sebanyak mungkin seperti memperbanyakkan solat – solat sunat seperti sunat taubat, istikharah, hajat dan sebagainya. Kita juga perlu fokus untuk memperbaiki diri dan membersihkan hati kita sebelum bertemu dengan Allah SWT dan meninggalkan segala urusan dunia.
Akan tetapi, apa yang menyedihkan adalah sebilangan daripada dyufurrahman ini masih leka dengan urusan dunia. Sebagai contoh beberapa buah video yang beredar di platform media sosial memperlihatkan sebilangan jemaah mengambil peluang ini untuk mempromosikan perniagaan mereka sambil berlatarbelakangkan Baitullah dan juga di dalam Masjid Nabawi di Madinah. Seharusnya sebagai jemaah yang diberi peluang untuk mengerjakan haji di mana jauh lebih beruntung daripada manusia lainnya yang masih lagi menanti, kita harus menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk mengabdikan diri pada yang Maha Esa.
Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila mereka menggunakan peluang ini untuk melariskan produk perniagaan mereka kononnya jika dilakukan promosi di tanah suci perniagaan menjadi semakin berkah. Dalam soal ini, keberkahan dan kelarisan sesebuah rezeki itu adalah urusan Allah SWT. Jika Allah SWT berkehendakkan ia terjadi, maka ia terjadi. Jangan gunakan alasan berada di bumi suci itu sebagai platform untuk melariskan perniagaan kerana ia seolah – olah menampakkan kita sedang menjual agama.
Ingatlah, kita dijemput sebagai tetamu Allah SWT sebagai jemaah haji itu adalah untuk menyucikan diri kita, menjadikan kita dalam versi yang lebih baik agar kita lebih dekat denganNya. Kita ini bertuah sekiranya dijemput dalam keadaan yang masih sihat dan masih kuat untuk melakukan ibadah. Maka gunakanlah peluang ini sebaik mungkin untuk meminta keampunan daripada Allah SWT dan mengharapkan keredhaanNya. Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang melaksanakan ibadah haji semata-mata kerana Allah dan dia tidak menuturkan perkataan keji dan tidak melakukan kefasikan (keluar daripada ketaatan) maka dia akan kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya (bersih daripada dosa).” (HR Bukhari).
Sumber: Portal Rasmi Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR)
Comments
Post a Comment