TIDAK SALAH MENJADI PENDAKWAH "INFLUENCER" - ASAL JANGAN SAMPAI DAKWAH JADI FITNAH

 

Kecoh seminggu dua ini dengan isu pendakwah "influencer" (pempengaruh) yang cuba untuk berdakwah tetapi gayanya yang salah sehingga mengelirukan masyarakat dan juga menimbulkan fitnah. Seperti kes seorang pendakwah terkenal di mana beliau mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berkenaan puasa di hari Tasyrik. Begitu juga dengan seorang influencer wanita yang kononnya ingin memberikan kata – kata motivasi melalui videonya di aplikasi TikTok tetapi menggunakan nada suara yang manja dan meliuk lentok dengan ayat “mari, dekat sikit”. Akibatnya, video tersebut di viral hingga ada yang memparodikan video tersebut dengan mendekatkan muka mereka di skrin telefon masing – masing.

Hal tersebut mengundang rasa kurang selesa kepada masyarakat sehingga ada yang menganggap dakwah berkenaan semaacam mahu menarik perhatian dan mendapat sambutan hangat. Perkara ini juga mendapat perhatian beberapa tokoh agama antaranya Dr. Mohd Ridhuan Tee dan juga Ustazah Asmah Harun. Dalam satu kenyataan, Dr. Ridhuan Tee menasihatkan agar golongan pendakwah ini berhenti untuk bercakap sesuatu yang bukan di dalam bidangnya. Hal ini kerana ia akan lebih menjejaskan kedudukan Islam dan menimbulkan kontroversi.

Sementara itu, Ustazah Asmah Harun pula menyifatkan perbuatan influencer wanita itu sebagai satu yang mencemarkan nama baik golongan Muslimah dan menyifatkan golongan Non – Muslim lebih sopan dan beretika dalam berinteraksi di video. Tambah beliau, perbuatan itu yang dikongsikan secara ‘public’ telah mendatangkan fitnah kepada golongan Muslimah dan dikategorikan sebagai ‘soft porn’. 

Ya, memang benar sekiranya kita berkongsi ilmu yang salah dan juga berdakwah dalam keadaan meliuk lentokkan suara kononnya dengan tujuan dakwah secara muhasabah boleh mendatangkan fitnah dan kekeliruan dalam kelompok masyarakat. Bukankah Allah SWT telah berfirman dalam surah Al – Maidah, ayat 77 yang bermaksud:

Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul".

Bahkan Allah SWT juga berfirman:

“Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (QS Al – Ahzab: 32).

Oleh itu, berdakwahlah secara berhemah. Jangan disebabkan perbuatan kita, maka agama Islam yang menerima azabnya. Berdakwah ke jalan yang benar tidak salah, asalkan jangan sampai mendatangkan fitnah.

Sumber: Facebook Ustazah Asma Harun & Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah.


Comments